SEGAMAT, 30 Disember - Dakwaan mengatakan banjir di Kampung Seberang Batu Badak di sini berpunca daripada ban pecah, tidak benar.
Sebaliknya, limpahan air ke kawasan kampung itu disebabkan oleh peningkatan paras air sungai.
ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip berkata, ban berkenaan merupakan sebahagian daripada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir.
Menurut beliau, limpahan air sungai masih boleh berlaku sekiranya hujan lebat, terutama apabila paras benteng sedia ada hanya sekitar 1.5 meter berbanding sasaran 3 hingga 4 meter.
"Saya harap masyarakat terutama penduduk sebelah sini, jangan panik. Dapatkan maklumat yang tepat daripada agensi dan jabatan yang berkenaan.
"Hubungi penghulu, ketua kampung, mungkin hubungi juga JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan Pejabat Daerah untuk maklumat yang terkini.
"Jika dengar maklumat-maklumat tentang bencana, kemungkinan-kemungkinan sebagainya, hubungi pihak yang berkenaan untuk dapat maklumat tepat," katanya kepada pemberita semasa melakukan tinjauan ke Kampung Seberang Batu Badak.
Projek RTB itu kini berada dalam fasa tiga yang dijangka siap lebih awal daripada jadual, iaitu penghujung 2027.
Kira-kira 1.7 kilometer daripada keseluruhan 15 kilometer telah disiapkan, setakat ini.