fb fb fb fb fb

Pembangkang setuju penyasaran subsidi diesel, bukti tindakan kerajaan tepat - Pakar

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Che Soh

KUALA LUMPUR, 21 Jun- Sokongan pemimpin pembangkang terhadap pelaksanaan subsidi bersasar diesel menggambarkan kerajaan melaksana tindakan tepat dalam membantu rakyat.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Che Soh berpendapat, melaluinya ketirisan dapat dikurangkan dan hasil penjimatan akan dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif.

"Saya percaya bahawa ia memberi kesan yang positif kepada usaha kerajaan untuk memastikan bahawa penyasaran subsidi diesel ini dapat mencapai matlamatnya."

"Tentu sekali kepada rakyat, ia akan memberikan kesan berganda sebab penjimatan yang kita dapat daripada subsidi diesel ini akan dapat disalurkan untuk pembangunan fizikal," kata Dr. Mazlan kepada pemberita.

Pada masa sama, keperluan kesedaran masyarakat berhubung langkah berkenaan perlu dipertingkat bagi memastikan mereka benar-benar faham kepentingan pelaksanaannya.

"Jadi, perlu ada kempen kesedaran kepada rakyat. Kempen ambil tahu, ambil peduli. Perlu tingkatkan daripada segi penyampaian kesedaran, bentuk ilmu kepada masyarakat."

"Itu juga perlu diteruskan kerana kita kena faham bahawa hasil negara seperti dirompak itu berleluasa," tambahnya.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyambut baik keputusan kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar berkenaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM