fb fb fb fb fb

Kajian: Program asas TVET di politeknik, perkukuh laluan pendidikan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) telah lama menjadi tunjang utama dalam melahirkan modal insan berkebolehan tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional di Malaysia. Seiring dengan perkembangan pesat teknologi dan perubahan landskap pekerjaan, sistem pendidikan TVET kini dituntut untuk lebih dinamik dan relevan dalam memenuhi keperluan industri semasa.

Menyedari keperluan ini, satu kajian komprehensif telah dijalankan bawah pimpinan Prof. Ts. Dr. Rosziati binti Ibrahim bersama Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Bin Abdul Razzaq, Prof. Madya Dr. Sapi'ee Bin Jamel, Dr. Khadijah Binti Md Ariffin dan Ts Dr Mazidah Binti Mat Rejab dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Kajian bertajuk The Study of Effectiveness of TVET Matriculation Curriculum as a Feeder to MTUN Degree ini meneliti keberkesanan kurikulum matrikulasi TVET sebagai penyalur kepada program ijazah di rangkaian Malaysian Technical University (MTUN). MTUN adalah rangkaian universiti awam di Malaysia yang menfokus kepada pendidikan teknikal dan vokasional.

Universiti dalam MTUN menawarkan program pendidikan tinggi yang menumpukan kepada pembangunan kemahiran teknikal, teknologi, dan kejuruteraan dengan matlamat untuk menyokong keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara. Program Asasi TVET 2023 merupakan inisiatif baharu politeknik kepada para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dan setaraf.

Permohonan kemasukan ke Program Asasi TVET Ambilan Sesi 2023/2024 bagi lepasan SPM/Setaraf telah dibuka mulai 15 Mei sehingga 13 Jun 2023. Program Asasi TVET merupakan inisiatif terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyediakan laluan baharu kepada mereka yang layak dan berminat dalam bidang TVET untuk bermula dengan program persediaan di lima buah politeknik terpilih dan seterusnya berpeluang meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda di rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Analisis ini dijalankan berdasarkan kumpulan atau batch pertama melibatkan 149 soal selidik sah. Data yang diperoleh adalah 100% hasil daripada proses pemilihan yang ketat; memastikan keputusan kajian ini bebas daripada kesilapan dan unsur bias yang boleh menjejaskan dapatan kajian.

Penilaian mendapati bahawa latar belakang pelajar, termasuk jantina dan kaum, memainkan peranan penting dalam memahami profil peserta program ini. Majoriti pelajar adalah lelaki, iaitu sebanyak 70.5%, manakala selebihnya adalah perempuan (29.5%). Dari segi komposisi kaum, 78.5% pelajar adalah daripada bangsa Melayu, diikuti oleh India (12.1%), Cina (5.4%), dan lain-lain (4.0%).

Dalam aspek akademik, 75.2% daripada pelajar mempunyai latar belakang dalam bidang sains tulen semasa SPM. Ini menunjukkan kecenderungan majoriti peserta terhadap disiplin teknikal, mencerminkan minat mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan teknologi dan kejuruteraan. Sebahagian kecil daripada peserta pula mempunyai latar belakang dalam bidang lain seperti perakaunan dan sastera, yang turut memberi nilai tambah kepada kepelbagaian program.

Dapatan ini menggambarkan populasi yang pelbagai dari segi latar belakang akademik dan etnik, memberikan gambaran menyeluruh mengenai peserta program matrikulasi TVET di Malaysia. Hal ini menekankan keperluan untuk memastikan kurikulum yang ditawarkan sesuai dengan pelbagai keperluan dan potensi pelajar, serta selaras dengan matlamat Dasar TVET Negara.

Kajian ini juga mendapati peluang kerjaya adalah faktor utama, mendorong pelajar memilih program ini, dengan 49% responden menekankan faktor tersebut. Manakala 40.9% daripada pelajar menyatakan minat sebagai faktor utama yang mempengaruhi pilihan mereka. Keputusan ini menunjukkan bahawa TVET terus menjadi pilihan relevan dalam kalangan pelajar yang ingin membina kerjaya yang kukuh. Sebanyak 97.3% daripada responden mempunyai pengetahuan mengenai MTUN.

UTHM muncul sebagai pilihan utama dalam kalangan pelajar (62.4%), diikuti oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Ini menunjukkan daya tarikan dan reputasi MTUN dalam kalangan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang teknikal.

Kajian ini relevan dalam konteks perkembangan semasa berkaitan TVET di Malaysia; menyaksikan terdapat desakan untuk mempertingkatkan standard dan kualiti latihan vokasional ke arah menyediakan tenaga kerja kompeten. Selaras pengumuman Dasar Pendidikan TVET Negara yang baharu, usaha kerajaan untuk merapatkan jurang kemahiran dalam sektor pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi kini menjadi agenda utama.

Pelaksanaan dasar ini menekankan kepentingan memperkukuhkan laluan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai pilihan utama, bukan sahaja kepada pelajar lepasan sekolah tetapi juga kepada pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran mereka.

Isu kekurangan kesedaran mengenai peluang kerjaya dalam bidang TVET turut dibangkitkan oleh pemain industri. Menurut laporan terkini, terdapat keperluan untuk meningkatkan promosi program TVET secara menyeluruh agar lebih ramai pelajar dapat membuat keputusan berinformasi.

Kajian yang dijalankan oleh Prof. Ts. Dr. Rosziati ini menunjukkan bahawa kesedaran pelajar mengenai program TVET adalah tinggi, namun memerlukan promosi berterusan untuk memastikan semua segmen pelajar menerima pendedahan mencukupi.

Secara keseluruhan, dapatan kajian ini mencerminkan keberkesanan Program Asas TVET di institusi politeknik dalam menyediakan pelajar dengan kemahiran teknikal yang relevan dan membuka laluan kerjaya lebih terjamin dan berdaya saing.

Projek penyelidikan ini memberikan asas kukuh untuk meningkatkan kurikulum TVET di Malaysia, sejajar usaha kerajaan memperkasakan TVET sebagai laluan pendidikan arus perdana. Menerusi hasil kajian ini, pihak universiti dan industri dapat bekerjasama untuk memastikan kualiti pendidikan TVET terus dipertingkatkan bagi melahirkan graduan kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini.

PENULIS TS DR MAZIDAH MAT REJAB dan PROF. TS. DR. ROSZIATI IBRAHIM Profesor Jabatan Kejuruteraan Perisian Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat  Universiti Tun Hussein Onn , Batu Pahat, Johor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI