
ALOR SETAR, 14 Jun – Seramai 32 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kedah telah berlepas ke Jepun malam tadi dalam lawatan pendidikan ke negara itu selama empat hari bermula hari ini.
- Pelajar menghargai peluang pendedahan awal terhadap kemajuan teknologi Jepun.
- Lawatan ke universiti di Jepun membuka minda dan memberi pengalaman yang menyeronokkan.
- Anak Muda MADANI Kedah menganjurkan lawatan untuk menghargai kejayaan cemerlang SPM dan melawat Universiti Chiba, kedutaan serta lokasi pelancongan.
Salah seorang pelajar, Muhammad Naufal Shamsudin berkata beliau menghargai peluang melawati negara matahari terbit itu, serta menjadi medium mendapat pendedahan awal mengenai kemajuan teknologi negara berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Anak Muda MADANI Kedah atas tajaan lawatan ini yang memberi peluang keemasan kepada kami. Saya juga berasa sangat terharu dan gembira kerana dari kecil lagi saya teringin nak ke negara matahari terbit ini,” katanya.
“Lawatan kami ke universiti-universiti di Jepun ini dapat membuka minda kami dan pengalaman yang sangat menyeronokkan,” kata seorang lagi pelajar, Koh Ke Ying.
Kesemua pelajar dari Padang Terap, Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi itu berlepas malam tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan kini telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun.

Dalam pada itu, Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata lawatan tersebut bagi menghargai kejayaan cemerlang mereka dalam SPM, serta memberi pendedahan mengenai universiti-universiti terkemuka di negara berkenaan termasuk Universiti Chiba, selain lawatan ke kedutaan Malaysia di Tokyo dan beberapa lokasi pelancongan.
Terdahulu, Anak Muda MADANI Kedah telah membawa 114 pelajar cemerlang SPM 2025 ke Jakarta dan Bandung, Indonesia.