
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Program Junior Innovathon 2026 terus memperkasa budaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar dengan menyasarkan sebanyak 3,000 penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara.
- Perkenalkan kategori Murid Berkeperluan Pendidikan Khas untuk mengetengahkan idea, perspektif dan penyelesaian kreatif pelajar MBPK.
- Program sebagai platform memupuk budaya STEM dan menggalakkan pelajar menghasilkan penyelesaian terhadap masalah sebenar masyarakat.
- Hadiah wang tunai menarik untuk pemenang; pendaftaran dibuka hingga 14 Julai melalui portal rasmi Junior Innovathon.
Edisi kali ini bertemakan “Di Sini Inovasi Bermula”, buat julung kali memperkenalkan kategori Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) bagi mengetengahkan idea dan penyelesaian kreatif mereka.
Program anjuran Kementerian Ekonomi, bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan RTM sebagai penyiar rasmi itu, bukan sekadar pertandingan reka cipta, sebaliknya platform bagi membudayakan pemikiran inovatif dan menggalakkan pelajar menghasilkan penyelesaian terhadap masalah sebenar dihadapi masyarakat.
“Kita menjangkakan penyertaan yang lebih ramai boleh mencecah 3,000 penyertaan. Jadi dengan ada budaya yang lebih kompetitif ini hasratnya adalah kita dapat benar-benar melahirkan senarai 50 sekolah yang terbaik itu yang benar-benar boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi di luar sana,” menurut Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir kepada pemberita RTM.

Sementara itu, mengulas berkenaan pengenalan kategori baharu melibatkan MBPK, beliau berkata ia diwujudkan bagi memberi ruang kepada peserta menampilkan idea berdasarkan pengalaman dan perspektif mereka yang tersendiri.
“Jadi sebab itu kita buka satu kategori baru murid yang berkeperluan pendidikan khas ini kerana POV mereka itu berbeza. Dapatan mereka, apa yang mereka nampak, cabaran yang dihadapi itu dan penyelesaian masalah itu juga datang daripada sudut pandang mereka. Jadi sebab itu tahun ini kita juga meraikan penyertaan kategori khas ini untuk kita benar-benar mengambil pendekatan yang lebih inklusif,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, kategori berkenaan diperkenalkan susulan permintaan daripada sekolah-sekolah yang mempunyai program pendidikan khas untuk turut serta dalam pertandingan tersebut.
Malah, kejayaan peserta program edisi terdahulu membuktikan idea yang diketengahkan mampu dikembangkan ke peringkat lebih tinggi termasuk institusi pengajian tinggi.
“Kita melihat perkara ini lebih memberatkan kepada proses yang dilalui supaya budaya ini bukan sekadar terhenti di peringkat merekacipta tetapi memahami proses untuk mengenengahkan ciptaan mereka itu ke peringkat penyelesaian masalah ataupun membantu masyarakat memperbaiki kehidupan di luar sana,” katanya.
Edisi kali ini menawarkan hadiah menarik. Bagi kategori utama, johan setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM40,000 iaitu RM30,000 bagi kumpulan peserta, manakala RM10,000 untuk sekolah berserta trofi.
Manakala, naib johan akan menerima hadiah bernilai RM22,000 berserta trofi. Tempat ketiga menerima hadiah bernilai RM15,000 berserta trofi.
Pendaftaran penyertaan telah dibuka secara rasmi bermula pukul 12 tengah hari, hari ini hingga 14 Julai melalui portal rasmi pertandingan di https://juniorinnovathon.rtm.gov.my.