Malaysia terus diyakini, kekal relevan dalam hubungan antarabangsa

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai rakan strategik yang diyakini di peringkat antarabangsa hasil hubungan diplomatik yang kukuh disokong kestabilan politik berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar berkecuali dan diplomasi bijak meningkatkan keyakinan negara lain untuk terus bekerjasama.
  • Keupayaan memastikan bekalan minyak dan gas mencukupi walaupun berdepan krisis tenaga global.
  • Malaysia tidak memihak mana-mana ideologi atau kuasa besar demi menjaga kepentingan dan kesinambungan ekonomi negara.
  • Kestabilan politik menjadi kunci untuk memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan menarik pelaburan luar.

Kelebihan tersebut menjadi antara faktor penting dalam memastikan negara memperoleh bekalan minyak dan gas yang mencukupi, meskipun dunia kini berdepan ketidaktentuan susulan krisis tenaga global yang semakin mencabar.

Penganalisis Hubungan Antarabangsa, Dr Wan Zokhri Idris berpandangan, dasar diplomatik yang bijak dan berkecuali membolehkan negara kuasa besar seperti Rusia menganggap Malaysia sebagai sebuah negara sahabat yang sangat berpengaruh.

“Antara yang menjadikan Malaysia ini unik, berbeza dengan negara lain ialah kerana kita mengamalkan dasar berkecuali, iaitu tidak memihak kepada mana-mana pihak yang bertelagah.

“Dasar berkecuali yang bersifat objektif dan pragmatik ini sebenarnya telah menimbulkan keyakinan negara-negara lain untuk terus bekerjasama dengan kita,” katanya ketika dihubungi RTM.

Pada masa sama Malaysia turut mengambil pendekatan untuk tidak memihak kepada mana-mana ideologi atau kuasa besar demi kepentingan negara terus terpelihara.

“Kepentingan negara kita bukan dari segi politik dan ideologi, tetapi kepentingan kita adalah untuk memastikan kemendirian ekonomi dan kesinambungan ekonomi untuk rakyat jelata,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa, kestabilan politik menjadi kunci utama bagi memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan selain terus menarik kemasukan pelabur luar ke dalam negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.