
Gua Musang, 10 Mei – Seorang penoreh getah warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di kawasan kebun getah di Kampung Pulai bulan lalu.
- Tertuduh Mapaochi Samae, 46, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa mahkamah.
- Didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati mandatori atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.
- Mahkamah tetapkan 26 Julai untuk sebutan semula bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Tertuduh, Mapaochi Samae, 46, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Manah Maemoh, 48, di kawasan kebun getah Kampung Pulai antara pukul 7 hingga 11 malam pada 18 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Sebelum ini, lelaki itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang penoreh getah warga Thailand yang ditemui dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan di kawasan anak sungai Kampung Pulai pada 23 April lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terlangkup dengan kesan kecederaan dipercayai akibat senjata tajam.