Wanita lemas ketika aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Pertak

Foto: BBP Kuala Kubu Bharu

KUALA LUMPUR, 20 September- Seorang wanita maut selepas bot rafting yang dinaikinya bersama lima rakan terbalik di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal mendapati mangsa dihanyutkan arus deras selepas bot berakit terbalik.
  • JBPM Kuala Kubu Bharu tiba sekitar 3.30 petang untuk operasi mencari dan menyelamat; mangsa ditemukan pada 4.15 petang.
  • Polis menasihati pengunjung pusat rekreasi di daerah Hulu Selangor supaya sentiasa peka dan mengutamakan keselamatan ketika beriadah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, mangsa berusia 34 tahun itu terjatuh dari bot ketika melalui jeram pertama sekitar pukul 12.00 tengah hari.

“Menurut rakan mangsa, bot rafting yang dinaiki mangsa bersama lima rakannya telah terbalik dan mereka terkeluar dari bot di jeram pertama.

“Mangsa kemudiannya didapati tersangkut di dasar air dan rakan mangsa cuba mengeluarkannya daripada halangan,” menurut kenyataan JBPM Selangor pada Sabtu.

Jelas kenyataan itu lagi, JBPM menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.52 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi lapan minit kemudian.

“Pasukan bomba membantu membawa mangsa sejauh kira-kira satu kilometer ke kawasan selamat berhampiran Kem Rimbayu sebelum menyerahkannya kepada polis.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut,” jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, operasi melibatkan enam anggota tamat pada pukul 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Manimaran Muniandi mengesahkan kejadian.

“Siasatan awal mendapati bot yang dinaiki mangsa semasa melakukan aktiviti water rafting telah terbalik menyebabkan mangsa dihanyutkan oleh arus deras,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Superintenden Manimaran juga menasihati orang ramai yang mengunjungi pusat rekreasi atau kawasan perkelahan di daerah Hulu Selangor supaya sentiasa peka dan mengutamakan keselamatan diri ketika beriadah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.