Judi : 15 PATI ditahan

Premis hanya dibuka terhadap pelanggan dikenali dan dilengkapi CCTV/Foto FB Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 September – 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi khas membanteras kegiatan perjudian haram di empat premis dekat Pandan Jaya, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bermula selepas maklumat awam dan risikan sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas.
  • Dua individu ditahan termasuk seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Indonesia, dipercayai penjaga premis dan juruwang.
  • Warga asing disyaki melanggar undang-undang imigresen: penyalahgunaan pas, tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah.
  • Premis beroperasi tertutup dengan CCTV dan pintu besi bermagnet dikunci dari dalam; pasport, peranti dan wang dirampas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menerusi kenyataan mengesahkan operasi bermula 12.01 tengah malam itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Dua daripada 15 individu yang ditahan, masing-masing seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis dan juruwang.

“Semakan awal mendapati kesemua warga asing itu dipercayai melakukan pelanggaran imigresen termasuk menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa serta tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Turut disita, tujuh pasport Indonesia, 31 tablet, 15 telefon bimbit, buku jadual pekerja, salinan perjanjian sewaan premis serta wang tunai RM1,674 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan,”katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menjelaskan premis berkenaan menjalankan kegiatan perjudian secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat dan hanya dibuka terhadap pelanggan tetap atau individu yang dikenali.

“Premis dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bertujuan memantau pergerakan pelanggan atau kehadiran pihak berkuasa, manakala akses masuk dikawal menggunakan pintu besi bermagnet yang dikunci dari dalam,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Lima individu tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.