
GUA MUSANG, 20 September – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memindahkan seramai enam penduduk yang terperangkap banjir di Kampung Limau Kasturi Satu, selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran hujan lebat semalam.
- Mangsa termasuk seorang pesakit yang memerlukan rawatan dialisis; melibatkan lelaki dewasa dan warga emas.
- Balai Polis Bertam Baru menerima panggilan pada pukul 12.22 tengah hari; lima anggota, sebuah lori dan sebuah bot digerakkan ke lokasi.
- Penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Kampung Limau Kasturi; operasi berjalan lancar dan diteruskan bagi keselamatan.
Penduduk terdiri daripada empat lelaki dewasa, seorang lelaki warga emas dan seorang wanita warga emas dengan salah seorang merupakan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Mohd Azrul Izham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Bertam Baru pada pukul 12.22 tengah hari tadi, memaklumkan terdapat penduduk terperangkap banjir di kampung berkenaan.
“Sepasukan lima anggota bersama sebuah lori dan sebuah bot digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 46 kilometer dari balai.
“Sejurus tiba di lokasi, komander operasi mengesahkan terdapat penduduk terperangkap banjir sebelum kerja-kerja pemindahan dilakukan,” katanya menerusi kenyataan.
Kesemua penduduk kemudian dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Limau Kasturi di sini.
Operasi pemindahan penduduk terjejas banjir berjalan dengan lancar selain, akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.