
GAZA, 20 September – Sekurang-kurangnya 8,000 jasad dipercayai masih tertimbus di bawah lebih 300 runtuhan bangunan di Semenanjung Gaza, dengan penduduk merayu bantuan antarabangsa untuk mengeluarkan mangsa dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.
- Separuh daripada jenazah yang dikeluarkan bulan ini adalah wanita dan kanak-kanak.
- Kerja penggalian dan forensik menghadapi halangan, menyukarkan pengenalpastian mangsa dan berisiko menghilangkan bukti; proses mungkin ambil lebih sedekad.
- Usaha mencari terhalang oleh kekurangan sumber, sekatan Israel dan kelemahan institusi; pasukan penyelamat terbeban dan memerlukan sokongan antarabangsa serta ICRC.
Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Wilayah Palestin yang Diduduki, Ajith Sunghay berkata, kira-kira separuh jenazah yang dikeluarkan dari runtuhan di Gaza City bulan ini adalah wanita dan kanak-kanak.
Beliau berkata, berdasarkan kadar semasa, kerja mengeluarkan semua jasad yang masih tertimbus boleh mengambil masa lebih sedekad.
Menurutnya, kerja penggalian dan forensik turut berdepan halangan, termasuk yang didakwa berpunca daripada Israel, sekali gus menyukarkan proses mengenal pasti mangsa dan berisiko menyebabkan bukti hilang.
Pegawai keselamatan tempatan, Aref Abdul Fattah berkata, usaha mencari mangsa terhalang akibat kekurangan sumber, sekatan Israel dan kekangan institusi rasmi.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal pula berkata, pasukan penyelamat terus mengeluarkan jasad dari bawah runtuhan, termasuk dengan kerjasama Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Bassal berkata usaha itu amat membebankan anggota penyelamat dari segi fizikal, mental dan kewangan, selain memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa bagi memelihara bukti dan mengesahkan identiti mangsa. – REUTERS