PM zahir takziah, arah bantuan kepada keluarga tiga mangsa kebakaran

Foto Facebook rasmi, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang terkorban dalam kebakaran di Taman Desa Tambun, Ipoh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohamad Hairul Amir Sabri mewakili Perdana Menteri menziarahi keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
  • Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun diarahkan membantu segala urusan keluarga termasuk penempatan sementara.
  • Pihak ICU akan membuat penilaian untuk menyegerakan bantuan baik pulih kediaman; doa semoga keluarga diberi ketabahan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata sudah meminta Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri mewakilinya menziarahi keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

“Saya telah meminta saudara Mohamad Hairul Amir Sabri mewakili saya menziarahi keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka,” katanya dalam hantaran tersebut.

Datuk Seri Anwar turut mengarahkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun membantu segala urusan dan keperluan keluarga mangsa, termasuk penempatan sementara.

Katanya, pihak ICU juga akan membuat penilaian bagi menyegerakan bantuan baik pulih kediaman.

“Semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini.

“Al-Fatihah,” katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 4.00 pagi itu, tiga mangsa ditemukan maut selepas sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun terbakar pada Ahad.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.