Tujuh ditahan seleweng diesel bersubsidi guna ‘fleet card’ di Nibong Tebal

Foto RTM

NIBONG TEBAL, 18 Mei– Tujuh warga tempatan diberkas di sekitar Nibong Tebal kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi dengan menyalahgunakan ‘fleet card’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis pemborong berlesen dijadikan lokasi pemindahan diesel dari prime mover yang diisi berulang kali di stesen minyak berhampiran.
  • Sindiket menggunakan 13 fleet card atas nama lori tidak bergerak untuk mengisi minyak ke lori lain.
  • Sita turut merangkumi 13 fleet card, tiga prime mover, CCTV, resit pembelian dan beberapa dokumen perniagaan.
  • Nilai rampasan dianggarkan RM205,000; kes disiasat bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, hukuman denda atau penjara.

Sindiket itu berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dengan kerjasama Cawangan Khas (E5) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sebuah stor pemborong berlesen.

Menurut Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan, premis berkenaan dijadikan lokasi pemindahan minyak diesel daripada ‘prime mover’, yang dipercayai mengisi bahan api itu di stesen minyak berhampiran secara berulang kali menggunakan fleet card.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan fleet card bagi 13 buah lori yang berada di lokasi. Lori-lori itu tidak bergerak, tetapi kad tersebut digunakan atas nama kenderaan berkenaan untuk mengisi minyak ke lori lain.”

“Tambahan pula, stesen minyak itu terletak bersebelahan dengan premis pemborong ini, dan kedua-duanya dimiliki oleh pengusaha yang sama melalui dua lesen berbeza,” kata

Dalam serbuan itu, KPDN turut menemui 13 keping fleet card yang digunakan dalam transaksi tersebut selain menyita tiga buah prime mover, sistem kamera litar tertutup (CCTV), resit pembelian, serta beberapa dokumen perniagaan.

Nilai keseluruhan rampasan di premis berkenaan dianggarkan mencecah RM205,000.

Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana membeli barang kawalan daripada sumber tidak sah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.