
KUALA LUMPUR, 27 Januari – didenda oleh Mahkamah Majistret Temerloh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan serah simpan penyata tahunan bagi tahun 2024.
- Tiga pengarah dan syarikat didenda kerana gagal menyerah penyata tahunan mengikut Seksyen 68(1) Akta Syarikat 2016.
- Denda ditetapkan: RM4,000 masing-masing kepada dua pengarah dan syarikat, RM2,000 kepada seorang pengarah; semua denda telah dijelaskan.
- SSM tegas tidak kompromi; kegagalan patuh boleh dihukum hingga RM50,000 dan denda harian sehingga RM1,000.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan Zabilly Marketing Sdn. Bhd. serta tiga pengarahnya, iaitu Zainudin Ismail, Nor Khairiah Md Dahan dan Saadiah Hassan, disabitkan kesalahan pada 6 Januari 2026 di bawah Seksyen 68(1) Akta Syarikat 2016.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di mahkamah.
“Seksyen 68(1) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa setiap syarikat hendaklah menyerahkan simpan penyata tahunan kepada Pendaftar bagi setiap tahun kalendar dalam tempoh tidak lewat daripada 30 hari dari ulang tahun pemerbadanan syarikat,” menurut kenyataan itu.
Mahkamah menetapkan denda RM4,000 masing-masing terhadap Zabilly Marketing Sdn. Bhd., Nor Khairiah Md Dahan dan Saadiah Hassan, manakala Zainudin Ismail didenda RM2,000.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Loganath Selvam, manakala kesemua tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Kesemua denda telah dijelaskan pada hari yang sama.
SSM turut menjelaskan kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang tersebut merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 68(9) Akta Syarikat 2016.
“Kesalahan ini boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM50,000 dan sekiranya kesalahan itu berterusan, denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” jelas SSM.
Dalam pada itu, SSM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang di bawah seliaannya.
“SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM,” menurut kenyataan tersebut.