
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Kegiatan pelacuran dipercayai beroperasi secara ‘tersusun’ sejak kira-kira setahun serta menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun, tumpas menerusi serbuan di tiga lokasi sekitar Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
- 57 individu ditahan termasuk tujuh lelaki tempatan serta warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India.
- Wanita warga asing ditempatkan di rumah tumpangan atau hotel bajet disewa secara harian atau bagi tempoh tertentu.
- Premis dipercayai diurus serta dikawal oleh warga tempatan dan warga asing yang berperanan sebagai pengurus premis.
- Tujuh warga tempatan disiasat bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen; warga asing disiasat bawah Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) dan Peraturan 39(b).
Kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mendedahkan operasi dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur, hasil maklumat awal dan risikan berkaitan warga Indonesia yang terbabit dengan kegiatan tidak bermoral.
“57 individu termasuk tujuh lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 65 tahun ditahan manakala, warga asing yang ditahan masing-masing 29 warga Indonesia, 17 warga Bangladesh, tiga warga Myanmar dan seorang warga India.
“Siasatan mendapati kegiatan terbabit menempatkan wanita warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian atau bagi tempoh tertentu.
“Premis berkenaan juga dipercayai diurus serta dikawal oleh warga tempatan dan warga asing yang berperanan sebagai ‘pengurus premis,”katanya.
Pihak berkuasa turut menyita beberapa pasport warga Bangladesh, India dan Indonesia, selain telefon bimbit juga kunci premis.
Tujuh warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.