
KUANTAN, 24 Ogos – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menegaskan anggotanya yang meninggal dunia selepas dipatuk ular tedung selar ketika melakukan demonstrasi di
Temerloh, merupakan anggota terlatih yang berkemahiran mengendalikan haiwan berbisa.
- Sarjan Muhamad Muazam Shah Kamardin berkhidmat sejak 2010 dan berpengalaman mengendalikan haiwan berbisa.
- Aktiviti pengendalian haiwan berbisa dijalankan mengikut Prosedur Tetap Operasi dan tatacara keselamatan APM.
- Semua anggota diwajibkan menjalani latihan berkaitan sebelum menyertai operasi dan mesti mematuhi arahan keselamatan.
- APM mengambil serius insiden dan akan menilai serta menambah baik keselamatan serta pengurusan risiko, serta menzahirkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin telah berkhidmat bersama APM sejak 2010 dan berpengalaman dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata, aktiviti pengendalian haiwan berbisa dilaksanakan mengikut Prosedur Tetap Operasi (PTO) serta tatacara keselamatan ditetapkan APM.
“Semua anggota diwajibkan menjalani latihan berkaitan sebelum dibenarkan menyertai operasi, manakala mereka yang terlibat perlu menjalankan tugas berdasarkan prosedur dan arahan keselamatan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, APM mengambil serius insiden berkenaan dan sentiasa terbuka untuk menilai serta menambah baik aspek keselamatan, pengurusan risiko dan pelaksanaan aktiviti berkaitan dari semasa ke semasa.
Langkah itu sebahagian komitmen berterusan APM bagi memastikan keselamatan dan kebajikan anggota sentiasa diberi keutamaan.
APM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Sarjan (PA) Muhamad Muazam, sambil menyifatkan pemergiannya sebagai kehilangan besar kepada pasukan itu dan negara.