Sekolah jangan sorok kes buli, segera lapor polis

Foto Fail BERNAMA

SHAH ALAM, 24 Ogos – Pihak sekolah diingatkan supaya tidak menyembunyikan atau melengahkan laporan kes salah laku pelajar termasuk buli hanya kerana bimbang reputasi sekolah akan terjejas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan segera membolehkan polis jalankan siasatan dan langkah pencegahan pada peringkat awal.
  • Tindakan awal penting untuk mengelakkan kejadian menjadi lebih serius.
  • Kesedaran dan peranan pengetua serta pihak sekolah amat penting.
  • Kerjasama polis dengan KPM: tingkatkan lawatan PPS dan kekerapan rondaan MPV.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, laporan segera membolehkan polis menjalankan siasatan dan langkah pencegahan pada peringkat awal.

Jelasnya, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih serius.

“Kesedaran dalam kalangan pihak sekolah dan pengetua penting. Isu seperti ini tidak perlu disorokkan. Jika berlaku kes buli atau sebagainya, segeralah laporkan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS UiTM Kali Ke-10 Tahun 2026, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, usaha pencegahan dilaksana secara berterusan menerusi kerjasama polis dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Beberapa langkah atau kaedah sedang diusahakan antara pihak polis dan jabatan pendidikan, antaranya meningkatkan kekerapan lawatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) serta pasukan kereta peronda (MPV),” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.