
KOTA BHARU, 24 Ogos – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah lori di Kampung Paya Lada, Ketereh, Kelantan, pagi Isnin.
- Suami Idris Che Ngah, 74, dan isteri Azizah Che Mbong, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
- Anak mereka, Mohd Shahabudin (35), menerima panggilan tidak dikenali pada pukul 10 pagi lalu bergegas ke lokasi dari tempat kerja.
- Siasatan awal polis: lori dalam lorong lurus, motosikal dipercayai gagal memotong, pemandu lori tidak cedera; kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, penunggang motosikal, Idris Che Ngah, 74, dan isterinya, Azizah Che Mbong, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Anak kepada pasangan itu, Mohd Shahabudin Idris, 35, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi oleh seorang individu tidak dikenali pada pukul 10 pagi.
Ketika itu dia sedang bekerja di sebuah hotel di Kuala Krai dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Ibu dan ayah dalam perjalanan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, Tumpat, dari Kampung Kenor, Kuala Krai untuk mengecop pasport milik ibunya yang juga warganegara Thailand, ” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, di sini.
Mohd Shahabudin berkata, dia sudah menghalang ayahnya ke Pengkalan Kubor, Tumpat kerana mengetahui keadaan kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya selepas diserang strok ringan kira-kira dua minggu lalu.
“Setiap tahun ayahnya akan membawa ibu ke ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat untuk mengecop pasport sebelum singgah berehat di rumah saudara di kawasan berhampiran.
“Jenazah kedua ibu bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor selepas selesai proses bedah siasat, ” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, seorang saksi kejadian, Nurul Husna Azizam berkata, kejadian berlaku terlalu cepat, dan dia sempat melihat pasangan suami isteri itu membonceng motosikal dengan perlahan.
Ketika kejadian, dia yang sedang menggoreng di sebuah kedai sebelum terdengar dentuman kuat, kemudian melihat mangsa melayang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 9.35 pagi tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi ketika pemandu lori dari Kota Bharu menghala ke Ketereh.
Setibanya di lokasi kejadian, pemandu lori berusia 40-an dipercayai sedang bergerak lurus di laluannya sebelum bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan yang gagal memotong sebuah kenderaan lain.
Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikalmeninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik HPUSM untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.