
IPOH, 20 Mei – Seorang lelaki bersama-sama empat rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh adik kandung lelaki itu di kawasan Tanjung Rambutan, minggu lepas.
- Lima individu, termasuk S.K Siri Sakti Vell dan empat lagi, dituduh membunuh mangsa S.K Kerisnan, 18.
- Pertuduhan di bawah Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34; hukuman termasuk hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
- Media lapor perselisihan berkaitan pencurian kabel dipercayai punca; mayat ditemui dalam sebuah kereta di Jalan Lang Indah A/5.
S.K Siri Sakti Vell, 22, dan rakannya K Thirucelvan, 33, Shashipal Singh Manmuhan Singh, 36, N Thaneshwaran, 24, dan P Ukenthiran, 35, bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh S.K Kerisnan, 18.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Jalan Perpaduan Southward Tg Rambutan antara 1 pagi hingga 4 pagi pada 12 Mei.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua lelaki itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham berkaitan kegiatan mencuri kabel, dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki dibunuh sebelum mayatnya ditemukan dalam sebuah kereta di Jalan Lang Indah A/5 di sini, minggu lepas. – BERNAMA