
IPOH, 12 Jun – Orang ramai dinasihat tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu atau kumpulan etnik Rohingya, sebaliknya menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
- Salah laku oleh individu atau kumpulan perlu dilaporkan; tindakan akan diambil mengikut undang-undang.
- Pihak polis melaksanakan pemantauan berterusan walaupun tiada aduan rasmi bagi memastikan kawalan keadaan.
- Kerajaan negeri dan polis bekerjasama memantau peningkatan kehadiran warga Rohingya, terutama di daerah Manjung.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin menjelaskan, sebarang salah laku oleh kumpulan berkenaan, perlu dilapor dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
“Walaupun tiada sebarang aduan atau laporan rasmi diterima berhubung komuniti Rohingya di negeri ini, pemantauan berterusan tetap dilaksana pihak kami dari semasa ke semasa.
“Pemantauan berkala juga dijalankan bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal disamping bekerjasama dengan kerajaan negeri sekiranya terdapat keperluan untuk menangani sebarang isu berkaitan,”katanya.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan pihak berkuasa negeri sedang memantau kehadiran warga Rohingya yang dilaporkan semakin ramai di beberapa kawasan, khususnya di daerah Manjung.