
PANTU, 21 Julai– Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas dan dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di Sungai Seterap, Pantu, tengah hari tadi.
- Remaja 15 tahun dipercayai dibaham buaya ketika menjala ikan di Sungai Seterap, Pantu.
- Mangsa dilaporkan hilang selepas menyelam untuk melepaskan jala yang tersangkut pada kayu.
- Ahli keluarga melihat seekor reptilia timbul berhampiran lokasi, menguatkan syak serangan buaya.
- Pasukan SAR JBPM bersama PDRM, APM dan penduduk kampung menjalankan pencarian di permukaan air.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Taufik Ezany Abdullah dilaporkan hilang selepas menyelam untuk melepaskan jala yang tersangkut pada kayu di dalam sungai.
Ibunya, Puteh Bujang berkata, mangsa bersama tujuh lagi individu menaiki empat buah perahu untuk menjala ikan ketika kejadian.
“Mangsa dilaporkan tidak timbul semula selepas menyelam. Ahli keluarga kemudian mengesyaki mangsa diserang buaya apabila seekor reptilia itu dilihat timbul tidak jauh dari lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 12.35 tengah hari.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung menjalankan pencarian di permukaan air.