Polis Johor tumpas tiga sindiket dadah, rampasan cecah RM4.36 Juta

Pemangku Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 18 Mei Tiga sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpas Polis Johor menerusi enam serbuan berasingan dalam operasi antara 11 hingga 14 Mei lalu, dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM4.36 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penahanan 10 individu termasuk lima warga asing berumur 24 hingga 54 tahun.
  • Antara yang ditahan seorang lelaki Singapura, seorang wanita Thailand dan tiga wanita Vietnam; dipercayai pembekal, pembantu pembekal dan pengedar.
  • Sindiket aktif sejak Januari dan Februari sebelum dipatahkan melalui risikan dan operasi bersepadu.
  • Jumlah dadah dirampas mampu merosakkan 143,600 pengguna; tiga suspek positif methamphetamine, empat positif ketamin.

Pemangku Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat berkata, operasi tersebut turut membawa kepada penahanan 10 individu termasuk lima warga asing berusia antara 24 hingga 54 tahun.

Menurut beliau, antara yang ditahan ialah seorang lelaki warga Singapura, seorang wanita warga Thailand serta tiga wanita warga Vietnam yang dipercayai berperanan sebagai pembekal, pembantu pembekal dan pengedar dadah dalam sindiket berkenaan.

“Kesemua sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari dan Februari lalu sebelum berjaya dipatahkan hasil risikan dan operasi bersepadu pihak berkuasa.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal serta rumah teres sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Jumlah dadah yang dirampas dalam ketiga-tiga operasi ini mampu merosakkan seramai 143,600 pengguna,” katanya kepada media hari ini.

Hasil saringan air kencing mendapati tiga suspek positif methamphetamine, manakala empat lagi positif ketamin. Dua daripada suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek kini direman sehingga 21 Mei bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi ini dijalankan oleh Polis Johor di beberapa lokasi termasuk Johor Bahru dan Batu Pahat, sekali gus menandakan kejayaan besar dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah di negeri itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.