‘Bagok’ ditahan semula, siasatan rangkaian dadah Langkawi dibuka

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah/Foto RTM

ALOR SETAR, 18 Mei – Seorang lelaki dikenali sebagai “Bagok” yang mempunyai rekod jenayah dan dadah ditahan semula, sekali gus mencetuskan siasatan terhadap rangkaian dadah di Langkawi yang dikaitkan dengan istilah “Pablo Escobar 2.0”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saringan air kencing suspek positif methamphetamine; memiliki rekod jenayah panjang termasuk 12 kesalahan dan pernah ditahan sebelum ini.
  • PDRM menegaskan dakwaan sindiket besar tidak tepat; siasatan menyeluruh diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian lebih besar.
  • Siasatan juga membuka kertas terhadap seorang anggota "Mr A"; 54 pegawai ditahan berkaitan dadah sejak 2023, 38 telah didakwa.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah (JSJN Kedah) pada 16 Mei lalu dalam operasi khas di pulau peranginan berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain memiliki rekod jenayah lampau yang panjang termasuk 12 kesalahan di bawah pelbagai peruntukan undang-undang.

“Antara rekod tersebut termasuk kes di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Akta Dadah Berbahaya 1952, selain pernah dikenakan tahanan pencegahan di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah pada tahun 2020.

“Suspek ini ditahan kali terakhir pada 11 April lalu menerusi Op Langka oleh JSJN Bukit Aman, yang mana saringan awal turut menunjukkan keputusan positif dadah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas dakwaan kewujudan sindiket dadah besar-besaran di Langkawi yang digambarkan sebagai “Pablo Escobar 2.0”, beliau menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak tepat, namun siasatan menyeluruh masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada wujud rangkaian sindiket yang lebih besar.

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap seorang anggota berpangkat rendah yang dikenali sebagai “Mr A” berhubung dakwaan penglibatan dalam aktiviti dadah, namun individu terbabit telah ditukarkan sementara ke tempat lain.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota, sama ada berpangkat tinggi atau rendah, sekiranya terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah,” tegas beliau.

Tambahnya, seramai 54 pegawai kanan dan anggota polis telah ditahan atas kes berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh 2023 hingga April lalu, dengan 38 sudah dituduh di mahkamah, 13 diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), manakala selebihnya masih menunggu keputusan patologi.

Siasatan lanjut oleh JSJN Kedah kini diteruskan bagi merungkai rangkaian sebenar serta penglibatan individu lain dalam kes berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.