
ALOR SETAR, 18 Mei – Polis tidak menolak kemungkinan cemburu atau perasaan yang tidak berbalas menjadi antara motif kejadian seorang wanita cedera ditikam di leher oleh seorang rakan lelakinya yang merupakan ejen hartanah.
- Mangsa cedera ditikam di leher, tusukan menembusi sebelah kiri ke kanan mengakibatkan pendarahan banyak.
- Orang awam membantu selepas mangsa membunyikan hon; doktor klinik menghentikan pendarahan dan mangsa dilaporkan stabil.
- Suspek ditangkap kurang lima jam selepas kejadian di kawasan masjid Taman Uda, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi.
- Suspek berusia tiga puluh dua tahun direman tujuh hari; kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah bagaimanapun berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurut Datuk Adzli, dalam kejadian itu, suspek dipercayai menggunakan senjata tajam dengan menusuk dari sebelah kiri leher hingga menembusi sebelah kanan leher mangsa. Tusukan tersebut menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.
“Dalam kes ini, kami ingin berterima kasih kepada orang awam atas tindakan pantas mereka membantu mangsa. Difahamkan, mangsa membunyikan hon kenderaan bagi menarik perhatian orang ramai di lokasi kejadian.
“Orang awam kemudiannya bertindak dengan amat wajar dengan segera mendapatkan bantuan daripada klinik berhampiran. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor yang memberikan rawatan awal bagi menghentikan pendarahan mangsa.
“Saya percaya, tanpa rawatan awal tersebut, kecederaan pada bahagian leher yang melibatkan urat besar di leher yang boleh menyebabkan keadaan mangsa menjadi lebih serius. Alhamdulillah, rawatan segera berjaya diberikan di lokasi kejadian dan keadaan mangsa kini dilaporkan stabil”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di IPK Kedah.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek negatif dadah. Suspek juga turut mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes mendatangkan kecederaan parah terhadap bekas teman wanitanya sebelum ini.
Dalam kejadian pukul 9.19 malam tadi, mangsa berusia 35 tahun ditemukan cedera di bahagian leher akibat ditikam menggunakan senjata di dalam kereta miliknya di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, Alor Setar.
Sebelum kejadian, dipercayai berlaku pertengkaran antara mangsa yang berada di tempat duduk pemandu dan suspek berada di tempat duduk hadapan sebelah pemandu.
Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek berjaya diberkas dalam tempoh kurang lima jam selepas kejadian di kawasan masjid Taman Uda, Alor Setar, iaitu kira-kira 9 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 1.50 pagi tadi.
Pagi tadi, Mahkamah Majistret Alor Setar membenarkan suspek berusia 32 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.