PGA bongkar aktiviti pindah kayu getah tanpa permit bernilai RM130,000

Foto PGA

TANAH MERAH, 24 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar kegiatan pemindahan kayu getah tanpa permit selepas merampas 140 batang kayu pelbagai saiz bersama sebuah lori dianggarkan bernilai RM130,000 di Kampung Ipoh, Batang Merbau, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan Op Taring Wawasan oleh Strike Force Kompeni B dan Risik B Batalion 7 PGA kira-kira pukul 6.45 petang.
  • Pemandu gagal mengemukakan permit sah, seorang lelaki tempatan 44 tahun ditahan di bawah Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.
  • Kayu diperoleh dari pekebun Kampung Sokor, dihantar ke kilang di Tanah Merah; lori dan muatan disita di tapak sitaan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu dijalankan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA Kuantan bersama anggota Risik Batalion 7 kira-kira pukul 6.45 petang.

Beliau berkata, anggota PGA yang menjalankan rondaan mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan membawa muatan kayu sebelum menahan kenderaan itu berhampiran sebuah kilang kayu untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit pemindahan kayu yang sah bagi muatan dibawa.

“Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya kepada RTM.

Ahmad Radzi berkata, nilai rampasan membabitkan lori dianggarkan RM100,000 manakala kayu getah pelbagai saiz pula bernilai RM30,000.

Katanya, siasatan awal mendapati kayu itu diperoleh daripada pekebun di Kampung Sokor sebelum dihantar ke sebuah kilang kayu di Tanah Merah untuk diproses.

“Pemandu lori terbabit dipercayai menerima bayaran RM40 bagi setiap penghantaran dan melakukan pemindahan kayu tidak mengikut waktu ditetapkan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan selain tidak memiliki permit sah,” katanya.

Beliau berkata, lori bersama muatan kayu terbabit dibawa ke tapak sitaan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan di Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.