Empat individu ditahan, kes samun dan ragut

Gambar Fail

NILAI, 24 Mei –Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat kes samun dan ragut di Tangkak, Johor dalam satu operasi di kawasan Dataran Nilai, Putra Point di sini semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pergelutan berlaku ketika suspek cuba melarikan diri sebelum diberkas polis.
  • Polis merampas dua kenderaan dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah samun.
  • Beberapa unit telefon bimbit dan barangan lain dipercayai berkaitan kes turut dirampas.
  • Ketua polis nafi tembakan dilepaskan; kes disiasat bawah Seksyen 394, orang ramai dinasihatkan jangan sebarkan maklumat tidak sahih.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Johari Yahya berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia 22 hingga 28 tahun itu ditahan selepas cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan sebelum diberkas polis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut pihak polis merampas dua kenderaan yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah samun.

“Polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit dan barangan lain dipercayai berkaitan dengan kes disiasat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Johari turut menafikan berlaku insiden melepaskan tembakan seperti tular satu video di media sosial berkaitan operasi tangkapan berkenaan.

Beliau berkata tiada tembakan dilepaskan, operasi tersebut hanya melibatkan tindakan menahan suspek yang cuba melarikan diri sebelum kesemua suspek ditahan.

Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berkaitan video tular berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Semalam, tular di media sosial Threads mengenai kejadian tembak menembak membabitkan polis dan penjenayah di Dataran Nilai sehingga menyebabkan cermin kereta suspek berlubang akibat ditembak.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.