Pensyarah rugi hampir RM500,000 terjerat skim pelaburan palsu dalam talian

FOTO HIASAN

KUANTAN, 15 Januari – Seorang pensyarah kerugian RM493,600 selepas terperdaya dengan tawaran skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian, pada September tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pensyarah kerugian RM493,600 selepas terperdaya dengan tawaran skim pelaburan dalam talian tidak wujud.
  • Mangsa dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan diarahkan muat turun aplikasi pelaburan melalui pautan diberikan.
  • Membuat 22 pemindahan wang ke lima akaun, termasuk menggunakan simpanan sendiri dan pinjaman keluarga.
  • Polis nasihati rujuk balai polis awal dan semak nombor akaun di semakmule.rmp.gov.my sebelum melabur.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada 16 Sept 2025, wanita berusia 39 tahun itu menerima satu panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai ejen pelaburan saham daripada sebuah syarikat.

“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp dikenali sebagai ‘C-129 WLIS AW Fans Group’ dan diarahkan memuat turun satu aplikasi pelaburan menerusi pautan yang diberikan bagi tujuan membuat pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa telah melakukan sebanyak 22 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM493,600 menggunakan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarganya.

“Pada 14 Jan lepas, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM144,676 sebagai cukai pengeluaran, namun mangsa enggan berbuat demikian kerana mengesyaki telah ditipu.

“Mangsa tidak membuat bayaran tambahan itu kerana berasa curiga sebelum menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis,” katanya.

Yahaya menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berhampiran sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. Orang ramai juga diingatkan supaya menyemak nombor akaun yang diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi.-BERNAMA