
KLUANG, 26 Ogos – Seorang peniaga kenderaan terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah pada awal bulan ini.
- Dituduh memiliki pistol Smith & Wesson tanpa kebenaran di rumah Taman Kluang Indah pada 6 Ogos kira-kira 6.30 petang.
- Didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
- Mahkamah tidak membenarkan jaminan; sebutan semula ditetapkan 28 September untuk serahan dokumen.
- How sebelum ini antara empat yang dihadapkan atas pertuduhan membunuh; tiga lagi tertuduh dinamakan, pertuduhan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
How Han Wei, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson tanpa kebenaran sah di sebuah rumah di Taman Kluang Indah, Kluang, pada 6 Ogos lalu kira-kira 6.30 petang.
Bagi pertuduhan itu, How didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Yvonne Kee.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan pertuduhan itu tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sementara itu, How sebelum ini merupakan antara empat lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 17 Ogos lalu atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan, sebelum mayat mangsa ditemukan terapung dalam jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat.
Tiga lagi tertuduh ialah Yogesvaran Subramaniam, 40, Lim Yong Ming, 26, dan Achuthan Nagarajan, 32.
Bagaimanapun, mereka tidak membuat sebarang pengakuan kerana pertuduhan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.