
SEPANG, 12 Mei – Seorang peniaga barangan tiruan didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Sepang selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penjualan produk menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.
- Menjual pakaian, selipar, topi dan tali pinggang menggunakan cap dagang tiruan di premis di Telok Panglima Garang.
- Didakwa mengikut Seksyen 100 dan Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019; hukuman denda hingga RM10,000 setiap barangan atau penjara tiga tahun.
- KPDN Selangor memberi amaran tegas supaya peniaga tidak memanipulasi hak harta intelek, menjejaskan pemilik sah dan ekosistem perdagangan negara.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Muhamad Hanif Asa’ari dalam kenyataan memaklumkan, lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu didapati menjalankan urus niaga menjual pelbagai barangan menggunakan cap dagang tiruan.
“Lelaki tersebut didapati menjalankan urus niaga menjual pelbagai barangan termasuk pakaian, selipar, topi dan tali pinggang menggunakan cap dagangan tiruan di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat,” katanya.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hasim bersama Pegawai Pendakwa KPDN Selangor, Khairul Affandi Md Jani.
Tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan pada 21 April 2022 selepas didapati memiliki barangan yang dipakaikan dengan cap dagangan berdaftar secara tidak sah bagi tujuan perdagangan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM200,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, lelaki terbabit dilaporkan menjelaskan keseluruhan denda pada hari sama pengakuan bersalah direkodkan.
Muhamad Hanif turut memaklumkan, kes tersebut merupakan kes pertama pada tahun ini yang merekodkan nilai denda tertinggi di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2026.
“Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019, serta Seksyen 102(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan cap dagangan secara salah atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
KPDN Selangor turut memberi amaran tegas kepada golongan peniaga supaya tidak memanipulasi hak harta intelek kerana tindakan itu bukan sahaja menjejaskan pemilik cap dagangan sah, malah memberi kesan kepada ekosistem perdagangan negara.