Nahas helikopter: Pemergian Kapten Zainol Afiq kehilangan besar buat keluarga

Kapten Zainol Afiq Bee Sham / Foto Bee Sham Ahmad

MIRI, 13 September – Bapa kepada juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Bee Sham Ahmad menyifatkan pemergian anaknya dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga, namun percaya allahyarham telah mengakhiri hayatnya dalam keadaan yang baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bapa amat terkesan menerima berita; proses membawa keluar mangsa berdepan pelbagai cabaran.
  • Zainol Afiq digambarkan penyayang, hormat kepada orang tua, dan juruterbang komited memberi perkhidmatan kepada komuniti pedalaman.
  • Jenazah disolatkan di Masjid Jamal Addin; dibawa pulang ke Semenanjung, dijangka dikebumikan di Senawang petang ini.

Bee Sham, 59, berkata beliau amat terkesan ketika menerima berita mengenai nahas berkenaan, apatah lagi proses membawa keluar mangsa berdepan pelbagai cabaran.

Namun, beliau reda dengan ketentuan Allah dan menyifatkan allahyarham sebagai seorang yang banyak berjasa serta disenangi rakan dan masyarakat.

“Saya sebagai bapa, mula-mulanya memang tidak dapat menerima berita ini. Walau bagaimanapun saya sebagai seorang Islam reda dengan apa yang berlaku.

“Dan melihat kepada kematiannya, pada saya adalah satu kematian yang amat baik dan saya yakin beliau adalah orang-orang syuhada, insya-Allah,” katanya di sini.

Bee Sham turut mengenang anaknya sebagai seorang yang penyayang, menghormati orang lebih tua serta sentiasa mengambil berat terhadap keluarga.

Katanya, allahyarham juga dikenali sebagai seorang juruterbang yang komited dengan tugas, termasuk ketika ditugaskan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di pedalaman Sarawak.

Bee Sham turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses mencari dan menyelamat, pengurusan jenazah serta penghantaran pulang jenazah kepada keluarga.

Jenazah Kapten Zainol Afiq selamat disolatkan di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, Miri awal pagi tadi sebelum dibawa pulang ke Semenanjung untuk urusan pengebumian.

Jenazah allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Miri pada pukul 12.10 tengah hari menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH2575 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang.

Jenazah kemudian dijadual dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang pada pukul 4.30 petang untuk urusan solat jenazah.

Pengebumian dijangka berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Forest Heights pada pukul 5.30 petang ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.