Lelaki Myanmar ditemukan maut, dua rakan senegara ditahan

Gambar Fail

MUALLIM, 30 Januari – Dua lelaki warganegara Myanmar ditahan susulan penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tikaman dan kelar di sebuah rumah kebun berhampiran Kolam Ikan Kampung Kelawar, Tanjong Malim, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat lelaki ditemui dengan kecederaan tikaman dan kelar di sebuah rumah kebun berdekatan Kolam Ikan Kampung Kelawar.
  • Dua lelaki warganegara Myanmar berusia 39 tahun ditahan untuk membantu siasatan, reman akan dimohon.
  • Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan; mayat dihantar ke HRPB untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada majikan mangsa pada pukul 11 pagi ketika membuat lawatan ke kawasan kebun berkenaan.

“Majikan mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka sebelum menemui mangsa terbaring di bahagian dapur.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai akibat ditikam menggunakan sebilah parang di bahagian perut serta kesan kelar pada leher,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata lokasi kejadian dianggarkan kira-kira 1.5 kilometer dari jalan utama.

Bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, pihak polis kemudian menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 39 tahun bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muallim, ASP Mutazlim Hamdan di talian 011-10912754 atau IPD Muallim di talian 05-4528222.