
TUMPAT, 15 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 14 bungkus air ketum dan menahan seorang lelaki dalam serbuan Op Taring Wawasan di Kampung Alor Durian, Wakaf Bharu, Kelantan, malam tadi.
- Suspek berusia 30 tahun ditahan kira-kira pukul 9.30 malam selepas cuba melarikan diri.
- Pemeriksaan motosikal menemui bungkus plastik berisi cecair kehijauan disyaki air ketum.
- Suspek mengaku menjadi penghantar malam; polis mengesan individu dikenali sebagai 'Awey' untuk siasatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam selepas cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah motosikal milik suspek menemukan 14 bungkus plastik lut sinar mengandungi cecair kehijauan disyaki air ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah motosikal yang digunakan suspek dianggarkan berjumlah RM6,420.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai penghantar atau runner sebelum membekalkan air ketum untuk dijual pada waktu malam.
“Polis kini sedang mengesan individu yang dikenali sebagai ‘Awey’ bagi membantu siasatan serta mengenal pasti penglibatannya dalam aktiviti pengedaran air ketum,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952