
BATU BERENDAM, 15 Julai – Polis menahan 21 lelaki warga China yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Ayer Keroh, Isnin lalu.
- Sindiket mensasarkan rakyat China, menawarkan pelaburan saham dalam talian tidak wujud dan menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
- Sindiket dipercayai mula beroperasi di Melaka sejak awal Julai, kira-kira dua minggu sebelum serbuan.
- Polis merampas 8 set komputer, 3 komputer riba, 2 router, 14 telefon bimbit dan sebuah USB adapter; anggaran nilai rampasan RM25,000.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; suspek direman dua minggu sehingga 26 Julai.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 54 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan sebagai pegawai khidmat pelanggan bagi mencari mangsa dari China untuk menyertai skim pelaburan yang ditawarkan melalui laman sesawang qlch.cc.
“Hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menyasarkan rakyat China dengan menawarkan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
“Sindiket ini dipercayai mula beroperasi di Melaka sejak awal Julai lalu, iaitu kira-kira dua minggu sebelum serbuan dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Bukit Beruang.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas lapan set komputer, tiga komputer riba, dua router, 14 telefon bimbit serta sebuah USB adapter dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM25,000.
Kesemua suspek kini direman selama dua minggu sehingga 26 Julai bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan berkaitan dokumen perjalanan.