Pekebun sayur didenda RM80,000 ceroboh tanah kerajaan di Cameron Highlands

Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali turut memerintahkan tertuduh, R. Sathis, 29, dipenjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan./ UPNP

RAUB, 15 Julai – Seorang pekebun sayur didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub hari ini selepas mengaku bersalah membersihkan tanah milik Kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran di Pos Terisu, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands, pada Januari tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa membersihkan tanah kerajaan seluas kira-kira 0.101 hektar menggunakan jengkaut tanpa kelulusan pihak berkuasa.
  • Didakwa di bawah Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara; hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.
  • Pencerobohan dikesan selepas Transformation Taskforce Cameron Highlands membuat aduan beserta rakaman video.
  • Jengkaut Kubota U30-6S disita, disahkan milik syarikat tetapi diuruskan tertuduh, kemudian dilucuthakkan kepada Kerajaan Negeri Pahang.

Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali turut memerintahkan tertuduh, R. Sathis, 29, dipenjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membersihkan tanah kerajaan seluas kira-kira 0.101 hektar menggunakan sebuah jengkaut bagi tujuan pertanian tanpa kelulusan sah daripada pihak berkuasa negeri.

Kesalahan itu dilakukan di Pos Terisu, Mukim Ulu Telom, Daerah Cameron Highlands pada pukul 6.30 petang, 14 Januari 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara (Akta 828), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kejadian dikesan selepas pasukan Transformation Taskforce Cameron Highlands (TTF) membuat aduan berserta rakaman video berhubung pencerobohan tanah kerajaan negeri.

Susulan itu, satu operasi dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat yang diketuai Ketua Operasinya, Mohd Ammar Syamim Kassim.

Hasil serbuan mendapati kawasan berkenaan telah dibersihkan dan sebuah jengkaut model Kubota U30-6S dipercayai digunakan bagi menjalankan kerja tersebut.

Tertuduh kemudian hadir di lokasi dan mengaku sebagai individu yang mengusahakan kawasan berkenaan, namun gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran untuk menjalankan aktiviti itu.

Jengkaut terbabit disita mengikut Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara. Semakan kemudian mendapati jentera itu dimiliki sebuah syarikat dan diuruskan oleh tertuduh.

Siasatan lanjut bersama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands bertarikh 18 Jun 2025 mengesahkan kawasan yang dibersihkan adalah Tanah Kerajaan Negeri Pahang dan tiada sebarang kelulusan diberikan kepada mana-mana individu untuk mengusahakannya.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan jengkaut yang disita dilucuthakkan kepada Kerajaan Negeri Pahang selaras dengan Seksyen 426C(3) Kanun Tanah Negara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi, Taqiuddin Azizan dan Noor Shazana Ghani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.