
SHAH ALAM, 8 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyerbu sebuah kilang memproses sabun pencuci di sekitar Seri Kembangan yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan.
- Operasi bersepadu KPDN Selangor bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta Jabatan Imigresen susulan maklumat awam mengenai penyalahgunaan logo halal dalam talian.
- KPDN merampas 31,140 unit sabun, 40,000 plastik pembungkusan dan dokumen berkaitan; nilai rampasan dianggarkan RM215,700.
- Kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan 2011; KPDN tidak akan berkompromi dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asaari berkata, operasi bersepadu pada kira-kira 11.25 pagi itu dijalankan KPDN Selangor bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas KPDN serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya susulan maklumat awam mengenai penyalahgunaan logo halal pada produk sabun pencuci yang dipasarkan secara dalam talian.
Dalam serbuan itu, KPDN menyita 31,140 unit sabun pencuci, 40,000 unit plastik pembungkusan serta beberapa dokumen berkaitan, dengan nilai rampasan dianggarkan RM215,700.
Beliau berkata dalam serbuan itu, seorang pengarah syarikat dan lima pekerja warga asing diperiksa bagi membantu siasatan sebelum diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.

“Operasi bersepadu ini dijalankan hasil maklumat awam yang diterima berhubung penggunaan logo halal yang tidak sah pada produk yang dibungkus oleh syarikat berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kilang itu memasarkan produk sabun pencuci secara dalam talian.
“Kes disiasat mengikut subperenggan 8(b), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh didenda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berikutnya, manakala individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan logo halal dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui saluran aduan rasmi KPDN.