Lebih 50 rumah rosak dibadai ribut di Felda Kerteh Dua

Foto RTM

DUNGUN, 9 Julai – Lebih 50 buah rumah mengalami kerosakan selepas Felda Kerteh Dua di sini dilanda ribut kuat kira-kira pukul 3 petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut kira-kira lima minit menyebabkan puluhan pokok tumbang, menghempap rumah dan kenderaan penduduk.
  • Penduduk terkejut selepas terdengar dentuman kuat dan melihat kepingan atap serta bahagian rumah diterbangkan angin.
  • Tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan. Penduduk bersyukur dan memohon bantuan segera.
  • ADUN Paka dan pihak berkaitan menjalankan penilaian kerosakan sementara komuniti bergotong-royong membersihkan sisa runtuhan.

Tinjauan RTM ke lokasi kejadian mendapati, insiden ribut yang berlaku dalam tempoh kira-kira lima minit itu menyebabkan puluhan pokok tumbang, menghempap beberapa rumah serta kenderaan milik penduduk.

Penduduk menyifatkan kejadian itu sebagai antara ribut paling buruk pernah melanda kawasan berkenaan sejak lebih 50 tahun lalu.

Ketika kejadian, kebanyakan penduduk tiada di rumah kerana keluar bekerja, manakala mereka yang berada di rumah terpaksa menyelamatkan diri dengan berlindung di tempat lebih selamat akibat angin kencang dan hujan lebat.

Seorang penduduk, Mat Mohammad, berkata beliau terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat kepingan atap rumah diterbangkan angin.

“Memang terkejut sebab bunyi kuat. Atap yang kecil pecah dan berterbangan, manakala kepingan atap yang besar pula tercabut ditiup angin,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Haripah Zakaria, berkata keadaan pada awalnya kelihatan biasa sebelum angin bertiup semakin kencang sehingga menyebabkan bahagian rumahnya rosak.

“Mula-mula tak takut lagi. Lepas nampak angin datang dari sebelah rumah, suami terus azan. Tak lama kemudian terdengar bunyi dentuman kuat dan kami dapati rumah sudah pecah,” katanya.

Bagi Mat Nor Othman, detik berkenaan merupakan pengalaman yang sukar dilupakan.

“Memang sangat berdebar. Saya turun dari dapur dan hanya mampu melihat keadaan berlaku. Saya tidak mampu buat apa-apa selain mengalunkan azan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan ketika itu,” katanya.

Tinjauan di lokasi mendapati penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan rumah masing-masing termasuk mengalihkan pokok tumbang dan sisa runtuhan.

Walaupun terkejut dan sedih dengan kejadian itu, mereka bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Penduduk turut berharap bantuan dapat disalurkan segera bagi meringankan beban mereka yang mengalami kerosakan rumah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat menerusi hantaran di media sosial memaklumkan pihak berkaitan sedang menjalankan penilaian bagi mengenal pasti tahap kerosakan sebelum bantuan awal disalurkan kepada semua penduduk yang terjejas.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.