JPJ Kedah sita bas persiaran, pemandu tiada lesen CDL kelas E dan PSV

ALOR SETAR, 9 Julai -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah bas persiaran selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan serius.

Pengarahnya Stien Van Lutam berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemandu bas berusia 23 tahun itu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas E yang sah untuk mengendalikan kenderaan berat, selain tidak mempunyai Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

“Bas tersebut turut dikesan beroperasi dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh serta gagal memperbaharui perakuan pemeriksaan berkala PUSPAKOM, menjadikannya tidak layak berada di atas jalan raya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tindakan menyita bas tersebut diambil serta-merta bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan atau insiden lebih buruk.

Bas berkenaan ditahan ketika membawa 28 penumpang yang terdiri daripada pelajar sebuah kolej menerusi operasi di Jalan Hutan Kampung menghala ke Langgar, dekat Alor Setar, Kedah, hari ini.

Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan lanjut terhadap pengendali serta pemandu akan diambil.
 
“Operasi penguatkuasaan secara berkala akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pengusaha bas dan kenderaan awam mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.