Udara tercemar di Indonesia ragut 3,560 nyawa pada September

Asap tebal dan jerebu menyelubungi kawasan hutan susulan kebakaran di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, Indonesia/Foto AFP

JAKARTA, 30 Oktober – Sekurang-kurangnya 3,560 kematian direkodkan di Indonesia pada bulan lalu berpunca daripada pencemaran udara akibat asap kebakaran hutan dan tanah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 57.8 juta penduduk terdedah kepada kualiti udara tidak sihat hingga berbahaya sepanjang September.
  • Kematian akibat asap kebakaran meningkat dua kali ganda berbanding Ogos susulan lonjakan zarah halus PM2.5.
  • Lebih 330,000 kes jangkitan pernafasan akut direkodkan di seluruh negara.
  • Kerajaan menggerakkan 72,000 petugas, 2,100 petugas kesihatan dan mengagihkan 5.3 juta pelitup muka.

Berdasarkan kajian Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA), laporan turut menganggarkan kira-kira 57.8 juta penduduk negara itu terdedah kepada kualiti udara tidak sihat hingga berbahaya dalam tempoh sama.

Jumlah kematian akibat pencemaran asap kebakaran itu meningkat dua kali ganda berbanding Ogos, susulan peningkatan paras zarah halus PM2.5 yang boleh menembusi paru-paru dan aliran darah.

Selain kebakaran hutan dan tanah, pencemaran daripada sumber lain seperti kegiatan industri, kenderaan dan penjanaan tenaga turut dianggarkan menyebabkan 1,750 kematian.

Angka itu menjadikan keseluruhan kematian berkaitan pencemaran udara di Indonesia sepanjang September seramai 5,310 orang.

Dalam perkembangan sama, lebih 330,000 kes jangkitan pernafasan akut direkodkan di seluruh negara.

Kebakaran yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu itu berlaku ketika Indonesia berdepan keadaan kemarau susulan fenomena El Nino.

Nusantara Atlas yang merupakan pemantau aktiviti pembalakan dan penebangan hutan menganggarkan lebih 1.9 juta hektar kawasan terjejas akibat kebakaran dalam tempoh sembilan bulan hingga September.

Asap kebakaran turut menyebabkan kemerosotan kualiti udara di negara jiran termasuk Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste.

Bagi menangani keadaan itu, kerajaan Indonesia menggerakkan lebih 72,000 petugas untuk operasi pembenihan awan dan pemadaman kebakaran.

Selain itu, lebih 2,100 doktor serta petugas kesihatan diaktifkan di kawasan terjejas, manakala 5.3 juta pelitup muka turut diagihkan kepada penduduk. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.