
PUCHONG, 30 Oktober -Orang ramai dinasihati supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan stok makanan berlebihan susulan kebimbangan terhadap Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, sebaliknya membuat persediaan berdasarkan keperluan.
- Elak terpengaruh berita tidak sahih di media sosial; rujuk sumber rasmi untuk elakkan pembelian panik dan gangguan bekalan.
- Letakkan dokumen dan barangan penting di tempat lebih tinggi untuk mengurangkan kerosakan jika berlaku banjir.
- Rancang perpindahan awal bagi warga emas, OKU dan wanita hamil; peka ramalan cuaca dan pindah ke PPS apabila diarahkan.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata penyebaran berita tidak sahih, khususnya menerusi media sosial boleh mencetuskan pembelian panik yang berpotensi menimbulkan masalah lain termasuk gangguan bekalan barangan.
“Saya juga ada Facebook, sahabat saya suruh simpan makanan. Ini berita-berita (yang mencetuskan) pembelian panik, kita elakkan. Kadangkala pembelian panik menjadikan isu lain, bukan bencana MTL, tetapi bencana barang.
“Tak perlu dan beli sekadar yang perlu. Makanan, minuman dan sebagainya untuk rakyat kita, insya-Allah ada,” katanya selepas Sesi Libat Urus bersama dengan Media Berkenaan Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027 di sini hari ini.
Meor Ismail berkata orang ramai perlu mengambil langkah persediaan asas termasuk meletakkan dokumen dan barangan penting di tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan sekiranya berlaku banjir.
Beliau turut menasihatkan keluarga yang mempunyai warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita hamil supaya merancang perpindahan ke tempat selamat lebih awal jika kawasan kediaman mereka berisiko banjir.
Selain itu, orang ramai perlu peka terhadap maklumat dan ramalan cuaca daripada sumber rasmi serta segera berpindah ke pusat pemindahan sementara apabila diarahkan.
Meor Ismail berkata kemudahan PPS disediakan bagi memastikan kebajikan mangsa banjir dapat diuruskan dengan baik.