JKDM gagalkan sindiket jadikan Malaysia hab transit cip AI bernilai RM53 juta

Pengarah Kastam LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata ia merupakan rampasan terbesar melibatkan 72 unit server yang mengandungi cip AI termaju bernilai hampir RM53 juta./ RTM

SEPANG, 26 Jun – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan sindiket menjadikan Malaysia sebagai hab transit bagi penghantaran semula server yang mengandungi cip kecerdasan buatan (Advanced AI Chip) ke luar negara, serta cecair vape disyaki mengandungi dadah, membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM54.11 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kastam menyita puluhan server mengandungi cip AI termaju, didapati disembunyikan dan diisytihar sebagai komponen komputer untuk elak kawalan eksport.
  • Kartrij cecair vape disyaki mengandungi meth disorok dalam casing CPU, diisytihar alat ganti komputer sebelum cuba dieksport.
  • Kes disiasat mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya, dengan Kastam memperketat pemantauan pintu masuk terutama lapangan terbang.

Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL), Zulkifli Muhammad berkata, rampasan terbesar melibatkan 72 unit server yang mengandungi cip kecerdasan buatan termaju bernilai hampir RM53 juta termasuk cukai.

Beliau berkata, barangan berkenaan ditemukan hasil pemeriksaan di sebuah gudang dalam Zon Perdagangan Bebas (FCZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Jun lalu.

“Siasatan awal mendapati semua server itu dipercayai akan dieksport semula ke sebuah negara di Asia selepas menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit. Kesemua server telah disita untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut, manakala syarikat pengendali penghantaran kargo turut dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo, KLIA, hari ini.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai mengikrarkan barangan berkenaan sebagai komponen komputer bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa, sekali gus menyembunyikan status sebenar barangan strategik yang dikawal.

Menurutnya, cip kecerdasan buatan termaju diklasifikasikan sebagai barangan strategik di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010, justeru sebarang urusan eksport, pemindahan kapal atau transit perlu mematuhi syarat pelesenan dan kelulusan yang ditetapkan.

“Sebarang pelanggaran terhadap peruntukan akta itu boleh menjejaskan kawalan perdagangan strategik negara serta komitmen Malaysia terhadap pematuhan piawaian perdagangan antarabangsa,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010.

Dalam perkembangan berasingan, Zulkifli berkata JKDM turut merampas 4,760 kartrij cecair vape bernilai RM1.19 juta yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dalam satu operasi pada 10 Jun lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati kartrij vape berkenaan disorokkan di dalam casing unit pemprosesan komputer (CPU) dan diikrarkan sebagai alat ganti komputer sebelum dipercayai cuba dieksport ke sebuah negara jiran melalui perkhidmatan kargo udara.

Rampasan itu dipercayai merupakan antara taktik terbaharu sindiket penyeludupan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan barangan elektronik sebagai medium menyembunyikan bahan terlarang.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

JKDM menegaskan akan terus memperketat pemantauan di semua pintu masuk dan keluar negara, khususnya di lapangan terbang antarabangsa, bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan strategik, dadah serta barangan larangan yang boleh mengancam keselamatan dan kepentingan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.