
TAPAH, 21 November -Empat individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara merbahaya,semalam.
- Pemandu gagal berhenti, memecut laju dan hampir melanggar anggota polis semasa arahan pemeriksaan.
- Kenderaan suspek melanggar MPV polis belakang semasa percubaan memintas; pengejaran berakhir di Kilometer 286.5 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Simpang Pulai.
- Semua suspek belasan tahun tanpa rekod jenayah, ujian air kencing negatif; tiga direman, wanita diberi jaminan; disiasat bawah Seksyen 186, 279, 353.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, DSP Mohd Fadzil Ismail ketika mengesahkan kes memberitahu maklumat mengenai kejadian diterima anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada pukul 4.20 petang untuk membantu anggota Balai Polis Ringlet, Pahang bagi mengesan serta menahan sebuah kenderaan yang dinaiki beberapa individu disyaki terlibat kes melarikan orang.
“Susulan maklumat tersebut, anggota polis ke kawasan Batu 3, Jalan Pahang bagi menjalankan pemantauan dan sekitar pukul 5.30 petang, kenderaan berkenaan dikesan melalui kawasan tersebut sebelum diarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
“Pemandu kenderaan bagaimanapun, gagal mematuhi arahan, sebaliknya memecut laju sehingga hampir melanggar anggota polis yang bertugas.
“Polis kemudian bertindak mengejar kenderaan tersebut sehingga ke kawasan tol Tapah dan dalam usaha memintas kenderaan suspek, kenderaan MPV Polis telah dilanggar pada bahagian belakang.
“Usaha menahan suspek diteruskan dengan bantuan sebuah lagi kenderaan MPV IPD Ipoh sebelum akhirnya ditahan di Kilometer 286.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara berdekatan Simpang Pulai,”katanya.
Beliau turut menyatakan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan telah ditahan dengan kenderaan yang dinaiki mereka dirampas bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka merupakan remaja belasan tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing, negatif dadah.
Tiga lelaki yang ditahan direman empat hari bermula hari ini manakala, wanita tersebut diberi jaminan memandangkan terlibat dengan kes yang sedang disiasat di Jitra, Kedah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186, Seksyen 279 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.