Enam serbuan Op Rumbia rampas 700kg dadah bernilai lebih RM35 juta

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 September – Sebanyak 700 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM35.24 juta dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi enam serbuan Op Rumbia sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket mula aktif awal tahun dan menggunakan banglo perumahan sebagai makmal memproses dadah.
  • Serbuan pada 10 September menahan 11 suspek: enam lelaki tempatan, dua lelaki dan tiga wanita warga asing; hanya seorang positif dadah.
  • PDRM merampas pelbagai jenis dadah dan aset termasuk kenderaan, jam tangan, kad bank serta wang tunai; harta disita di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Pengarah Jabatan Siasan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, sindiket tersebut mula aktif awal tahun ini.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan banglo di kawasan perumahan sebagai makmal memproses dadah,” ujarnya kepada media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini.

Menerusi serbuan pada 10 September lalu, seramai 11 suspek ditahan dengan enam daripadanya merupakan lelaki warga tempatan, manakala dua lagi lelaki dan tiga wanita merupakan warga asing.


“Ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah.

“Serbuk dan cecair disyaki syabu seberat 692.04kg dirampas. Selain itu, serbuk MDMA berjumlah 3.84kg, pil Erimin sebanyak 630 gram dan ganja 20 gram,” jelasnya.

Selain itu, PDRM turut merampas sebanyak 11 kenderaan, seutas jam tangan dan kad bank beserta wang tunai dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.79 juta.

Beliau berkata rampasan dilakukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kegiatan dadah merupakan musuh nombor satu negara dengan hasil tangkapan daripada keseluruhan serbuan dianggarkan berkapasiti merosakkan seramai 3 juta orang yang menggunakannya,” tegas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.