
GUA MUSANG, 7 September – Polis sudah mengenal pasti identiti enam individu, termasuk empat sekeluarga dan dua malim gunung, yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi ketika menyertai pendakian Gunung Trans Gerah di Hutan Simpan Kekal Lojing, di sini.
- Nama keluarga pendaki: Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin (39), Siti Zulaiha Norizan (39), Diya Raisha (13), Ahmad Raef (9)
- Malim gunung terbabit: Shafiee Sidek (49) dan Hazman Mamat (44) dari Dabong, Kuala Krai
- IPD Gua Musang bersiap sedia membantu operasi mencari dan menyelamat termasuk untuk dua kanak-kanak
- Agensi digerakkan: Polis, JBPM, APM dan Malim Gunung Perhutanan Kelantan; IPD Gerik turut menjalankan operasi dari Perak
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, empat sekeluarga itu terdiri daripada pasangan suami isteri, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan Siti Zulaiha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, sembilan tahun.
Katanya, keluarga berkenaan beralamat di Yong Peng, Johor.
Dua lagi individu yang menyertai pendakian itu ialah malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 44, dari Dabong, Kuala Krai.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang kini bersiap siaga bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) keenam-enam individu berkenaan, termasuk dua kanak-kanak.
“Polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Malim Gunung Perhutanan Kelantan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.
Menurutnya, kekuatan pasukan di daerah Gua Musang ketika ini membabitkan dua pegawai dan 16 anggota, selain empat kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, operasi SAR turut dijalankan oleh IPD Gerik bersama agensi berkaitan dari Perak bagi mengesan kumpulan pendaki terbabit.