Empat sekawan didakwa bunuh rakan di Tanjung Rambutan

Empat tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka pada awal Ogos lepas/ RTM

IPOH, 12 Ogos- Empat sekawan yang juga penghuni sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan berkaitan kematian seorang rakan mereka pada 4 Ogos lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ahmad Faiz didakwa membunuh Mohd Fauzir Hussin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Zaid Shaari, Radzuan Suboh dan Abdul Halim didakwa mengikut Seksyen 304(a) dibaca bersama Seksyen 34.
  • Tiada pengakuan direkodkan; semua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tetapkan 11 September untuk laporan perubatan dan psikiatri.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Ahmad Faiz Mohd Rauhi, 35, Zaid Shaari, 50, Radzuan Suboh, 55, dan Abdul Halim Mohd Niza, 47, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Faiz didakwa membunuh Mohd Fauzir Hussin, 54, antara 5.00 petang hingga 5.41 petang di Pusat Jagaan Bakti, Jalan Bunga Cempaka, Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Zaid, Radzuan dan Abdul Halim didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian mangsa dengan niat menyebabkan kematian.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan termasuk laporan psikiatri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.