PM persoal pihak lebih utamakan polemik politik berbanding RCI TH

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan pihak yang didakwa lebih memberi tumpuan kepada polemik politik berbanding penerangan mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Dakwaan pengkhianatan terhadap kepentingan umat Islam perlu diberi perhatian utama.
  • Pemimpin mengkritik pihak yang terus bermain drama politik walaupun isu TH menjejaskan Melayu Islam.
  • Sebahagian pembangkang keluar Dewan Rakyat dan tidak ambil bahagian dalam sesi penerangan RCI TH.
  • Laporan 211 halaman mengandungi 25 syor; desakan lanjutan sidang untuk meneliti dan memperkukuh tadbir urus TH.

Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah dakwaan berlaku pengkhianatan terhadap kepentingan umat Islam.

“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang TH? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap TH?

“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.

“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam TH untuk menunaikan Rukun Islam kelima?,” katanya.

Terdahulu, sebahagian blok pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan berhubung Laporan RCI TH hari ini.

Tindakan itu berlaku ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan berkenaan yang dimulakan pada pukul 10.00 pagi.

Mesyuarat khas dimulakan dengan sesi penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, sebelum diteruskan dengan sesi pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.

Blok pembangkang sebelum ini meminta sidang khas berkenaan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Datuk Seri Anwar atas faktor kesihatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bagaimanapun menegaskan sidang khas itu perlu diteruskan, sambil menjelaskan kehadiran Timbalan Perdana Menteri serta menteri berkaitan mencukupi untuk mewakili kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menggesa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu dilanjutkan sekurang-kurangnya dua hari.

Beliau berpandangan tempoh sehari tidak mencukupi untuk Ahli Parlimen meneliti keseluruhan laporan RCI yang melibatkan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan setebal 211 halaman itu mengandungi 25 syor penambahbaikan berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH.

Sidang khas Dewan Rakyat hari ini turut memberi tumpuan kepada langkah susulan terhadap dapatan dan syor RCI, termasuk usaha memperkukuh tadbir urus, semak dan imbang serta memastikan kepentingan jutaan pendeposit TH terus dilindungi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.