Bonus TH kini tertakluk kepada prestasi kewangan, KPI dan kelulusan menteri

Foto FB Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengambil tindakan menghentikan amalan pemberian bonus terlalu tinggi kepada kakitangannya, selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemberian bonus kini pada kadar munasabah berdasarkan prestasi kewangan keseluruhan dan pencapaian KPI TH serta anggotanya.
  • Pemberian bonus tertakluk kepada kelulusan Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Kewangan.
  • Bonus tinggi sebelum ini kepada Ahli Lembaga TH Properties telah ditarik balik dan bayaran diselesaikan semula.
  • Tindakan bertepatan dengan usaha penambahbaikan tadbir urus dan amalan pemberian bonus dalam institusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pemberian bonus kini dilaksanakan pada kadar munasabah berdasarkan prestasi kewangan keseluruhan institusi serta pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) TH dan anggotanya.

Menurut beliau, pemberian bonus berkenaan turut tertakluk kepada kelulusan Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Kewangan.

“RCI telah mengesyorkan pemberhentian amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan. Ingin dijelaskan di sini, TH telah mengambil tindakan dengan mengamalkan pemberian bonus munasabah berdasarkan prestasi kewangan keseluruhan institusi dan pencapaian petunjuk prestasi utama, TH dan anggotanya,” katanya dalam Sidang Khas mengenai RCI TH di Dewan Rakyat.

Mengenai bonus yang diberikan sebelum ini, Dr. Zulkifli menjelaskan, bonus tinggi yang sebelum ini diberikan tanpa mematuhi peraturan kepada Ahli Lembaga TH Properties telah ditarik balik dan selesai dibayar semula.

Tindakan itu bertepatan dengan syor RCI berkaitan penambahbaikan tadbir urus serta amalan pemberian bonus dalam institusi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.