‘Bailout’ RM10 bilion untuk pulihkan kewangan TH, bukan ambil alih aset – Dr. Zulkifli

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan telah menyelamatkan Tabung Haji (TH) dengan suntikan ‘bailout’ melebihi RM10 bilion bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi itu yang kritikal akibat penyelewengan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan kerajaan bukan untuk mengambil alih aset TH, sebaliknya untuk memulihkan dan menjadikan institusi itu kembali solven serta mampan.
  • Semua aset TH dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.
  • TH tidak solven menyebabkan pengeluaran panik dan kabinet meluluskan pelan penstrukturan semula bagi menutup jurang defisit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan tindakan itu bukan untuk mengambil alih asetnya.

“Tabung Haji ketika itu adalah tidak ‘solven’ (tidak mampu) dan perlu diselamatkan. Keadaan tersebut akhirnya memaksa kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan, dalam bahasa yang sebetulnya ‘bailout’ Tabung Haji dengan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangannya supaya Tabung Haji kembali ‘solven’ serta kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Dr. Zulkifli turut menolak fitnah kononnya aset TH dijual kepada bukan Islam, sambil menekankan bahawa semua aset institusi itu dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

TH berdepan defisit aset liabiliti melebihi RM10 bilion pada suku keempat 2018.

Kegagalan mendapatkan pembiayaan siap sedia ketika itu meletakkan kerajaan berisiko menanggung liabiliti sebanyak RM74.5 bilion kerana simpanan TH dijamin sepenuhnya.

Menurut beliau, pengeluaran panik berlaku pada 2019 apabila hibah 1.25 peratus diumumkan bagi tahun 2018, dengan pengeluaran bersih RM6 bilion dalam masa singkat.

“Kabinet terpaksa meluluskan pelan penstrukturan semula segera bagi menutup jurang defisit dan menyelamatkan TH,” jelas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.