
SAUDARA PENGARANG
- Dadah sintetik mengganggu isyarat hormon dari otak ke testis, menyebabkan penurunan testosteron dan kualiti sperma.
- Kerosakan kesuburan sering tidak disedari semasa remaja, hanya dikesan selepas bertahun-tahun ketika cuba mendapatkan zuriat.
- Rawatan kesuburan seperti IVF mahal, tidak menjamin kejayaan dan membebankan kewangan pasangan muda.
- Kehilangan keupayaan reproduktif belia mengancam kadar kelahiran, tenaga kerja dan kestabilan ekonomi negara; tindakan pencegahan segera diperlukan.
Menjelang tahun 2030, Malaysia dijangka menjadi negara menua. Namun, ada satu ‘bom jangka panjang’ senyap yang sedang mempercepat krisis ini.
Sebahagian remaja lelaki kita telah terjebak dengan pengambilan dadah sintetik sebagai gaya hidup terkini. ‘Trend’ ini sedang secara tersembunyi mematikan potensi kesuburan mereka.
Fenomena dadah sintetik atau bahan psikoaktif baharu (NPS) di dalam merosakkan fungsi otak dan ketagihan melampau telah diketahui umum.
Hakikatnya, ia juga berupaya menyerang sistem kawal atur hormon pembiakan lelaki yang bermula daripada otak manusia.
Sebagai analogi, tubuh seorang lelaki adalah sebuah organisasi gergasi. Otak tubuh ini bertindak sebagai Pengurus Besar (CEO) dan organ reproduksi (testis) adalah kilang yang menghasilkan produk (benih lelaki atau sperma).
Dalam keadaan normal, otak akan sentiasa menghantar rantaian isyarat ‘arahan kerja’ (hormon) bagi memastikan kilang beroperasi dengan lancar dan menghasilkan sperma yang sihat.
Namun, berdasarkan dapatan kajian makmal terhadap sistem reproduksi, pengambilan dadah sintetik bertindak seperti penggodam (hacker) yang memotong talian internet syarikat tersebut.
Otak masih wujud, bentuk fizikal luarannya masih nampak tegap dan sasa, tetapi arahan langsung tidak sampai ke kilang reproduksi.
Akibatnya, penghasilan hormon pembiakan lelaki (testosteron) berkurangan, kilang berhenti berfungsi dan lama-kelamaan kualiti sperma merosot ke tahap yang kritikal.
Biasanya, kesan kerosakan biologi ini tidak disedari pada usia 18 atau 20 tahun. Ia disedari selepas sedekad kemudian, iaitu apabila mereka memasuki alam perkahwinan.
Pasangan berkahwin ini akan mengalami tekanan emosi kerana tidak mendapat zuriat seperti pasangan lain. Antara pilihan yang ada ialah menggunakan rawatan kesuburan berbantu seperti persenyawaan in vitro (IVF) bagi meningkatkan peluang untuk mendapatkan zuriat.
Masalahnya, rawatan ini bukanlah satu-satunya penyelesaian yang murah. Kos untuk satu pusingan rawatan IVF di Malaysia kini bermula dari RM4,000 hingga RM30,000. Ini adalah satu beban kewangan yang sangat berat bagi pasangan muda.
Lebih menyedihkan, pelaburan puluhan ribu ringgit ini tidak menjanjikan kejayaan mutlak.
Akhirnya, gabungan antara kekecewaan gagal mendapatkan zuriat dan bebanan hutang perubatan menyumbang kepada tekanan dalam sebuah perkahwinan. Seterusnya, ia boleh mencetuskan perceraian.
Apabila rantaian krisis keluarga ini dinilai pada skala nasional, kesannya jauh lebih menakutkan. Jika ribuan belia lelaki hari ini hilang keupayaan untuk menyumbang kepada populasi, kadar kelahiran negara akan menjunam dengan drastik.
Kesannya, dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, Malaysia bakal berdepan dengan penyusutan tenaga kerja muda yang sangat kronik.
Persoalan besar akan mula timbul: Siapa yang akan menggerakkan sektor ekonomi dan industri kelak? Siapa yang akan membayar cukai untuk menampung perbelanjaan infrastruktur negara?
Siapa yang akan menjaga dan menanggung jutaan populasi warga emas yang mendominasi demografi kita pada waktu itu?
Tanpa kita sedar, kerosakan biologi ini telah mengubah isu dadah sintetik daripada masalah kesihatan individu kepada ancaman keselamatan dan ekonomi negara.
Kita mungkin berjaya memulihkan sisa ketagihan belia-belia ini melalui modul di Pusat Serenti.
Namun, kerosakan kekal pada keupayaan reproduksi mereka ialah satu kecacatan biologi yang terpaksa ditanggung selamanya oleh masa depan Malaysia.
Sudah tiba masanya pembuat dasar, agensi penguat kuasa dan ibu bapa memandang isu lambakan dadah sintetik baharu ini bukan lagi sekadar krisis moral atau sosial biasa.
Ia adalah ‘pencuri’ yang sedang merompak benih pewaris negara secara terang-terangan.
Tindakan pencegahan yang lebih radikal dan kesedaran menyeluruh perlu digerakkan bermula hari ini, sebelum kita kehabisan masa dan Malaysia benar-benar kehabisan generasi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Siti Fatimah Ibrahim
Profesor Madya, Jabatan Fisiologi
Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: timi@ukm.edu.my