Ubah cara belajar, bina generasi berdaya fikir

Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Tukar fokus daripada menghafal kepada memahami konsep, menghubungkan ilmu dan mengaplikasikannya dalam situasi baharu.
  • Peranan guru berubah menjadi pembimbing yang menggalakkan perbincangan, eksperimen dan pembelajaran berasaskan masalah.
  • Pentaksiran perlu nilai kefahaman melalui projek, pembentangan, eksperimen dan kajian kes, bukan hanya jawapan akhir.
  • Ajar pelajar menggunakan AI secara kritikal: semak, banding dan terangkan semula maklumat dengan sumber rasmi.

Pengenalan Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2026 serta pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 memberi isyarat jelas bahawa cara kita belajar perlu berubah.

Kurikulum baharu itu menekankan asas yang kukuh, pengurangan beban dan pembelajaran lebih bermakna.

Perubahan ini penting kerana murid hari ini tidak lagi membesar dalam dunia yang kekurangan maklumat. Mereka hidup dalam dunia yang menyediakan terlalu banyak maklumat dan jawapan dalam sekelip mata.

“Mak, kenapa saya kena belajar semua ini? Nanti bila dah besar, saya guna ke?”

Soalan seperti ini mungkin pernah ditanya oleh anak kepada ibu bapa. Ada yang bertanya kerana letih mengulang kaji, manakala ada yang benar-benar mahu memahami tujuan mereka belajar.

Lazimnya, jawapan ibu bapa hampir sama: “Belajar rajin-rajin. Nanti dapat keputusan baik, senang dapat kerja.”

Jawapan itu tidak salah. Keputusan peperiksaan masih penting sebagai salah satu ukuran pencapaian dan boleh membuka peluang untuk melanjutkan pelajaran. Namun, dalam dunia yang berubah begitu pantas, sudah tiba masanya kita bertanya soalan lebih besar.

Adakah tujuan pendidikan sekadar melahirkan pelajar yang mampu menghafal banyak fakta, atau membentuk insan yang memahami ilmu dan tahu menggunakannya dalam kehidupan?

Persoalan ini bukan hanya untuk guru dan pensyarah. Ibu bapa, sekolah, universiti, majikan serta kerajaan turut mempunyai tanggungjawab.

Apa yang dipelajari oleh seorang murid hari ini akan mempengaruhi cara dia menilai maklumat, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan pada masa hadapan.

Murid yang sedang termenung di hadapan buku latihan itu mungkin suatu hari nanti menjadi doktor, jurutera, guru, usahawan atau pemimpin negara.

Suatu ketika dahulu, menghafal ialah kemahiran yang amat bernilai. Maklumat tidak mudah diperoleh. Buku menjadi sumber utama ilmu, manakala perpustakaan menjadi tempat mencari jawapan.

Pelajar yang mampu mengingati lebih banyak fakta mempunyai kelebihan kerana maklumat tidak boleh dicapai dengan segera seperti sekarang.

Hafalan tetap diperlukan. Kita masih perlu mengingati istilah, formula dan prinsip asas sebelum dapat memahami sesuatu bidang dengan mendalam. Namun, hafalan sepatutnya menjadi permulaan pembelajaran, bukannya penghujungnya.

Hari ini, maklumat boleh dicari melalui telefon pintar dalam beberapa saat. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa akses Internet isi rumah mencapai 97.1 peratus pada 2025, manakala akses kepada komputer mencecah 92.6 peratus.

Penggunaan Internet dalam kalangan individu pula meningkat kepada 98.3 peratus. Angka ini menunjukkan betapa luasnya capaian kepada maklumat digital dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Kemunculan kecerdasan buatan atau AI mempercepat perubahan tersebut. Soalan rumit boleh diterangkan dalam bahasa mudah, teks panjang boleh diringkaskan dan idea boleh dijana dalam beberapa saat.

Ironinya, cabaran terbesar kita bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi lambakan maklumat. Pelajar bukan sahaja perlu tahu mencari jawapan, malah mesti mampu menilai sama ada jawapan itu tepat, tidak lengkap atau langsung tidak benar.

Dalam keadaan ini, menghafal semata-mata tidak lagi mencukupi. Pelajar perlu memahami konsep, menghubungkan satu pengetahuan dengan pengetahuan lain dan menggunakannya dalam situasi baharu.

Mereka juga perlu membezakan fakta daripada pendapat, sumber sahih daripada maklumat palsu serta hujah bernas daripada ayat yang sekadar kedengaran meyakinkan.

Perbezaan antara menghafal dengan memahami mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya amat besar. Seorang pelajar matematik mungkin boleh menghafal semua formula, tetapi tidak tahu formula mana yang perlu digunakan apabila bentuk soalan diubah.

Pelajar bahasa pula boleh menghafal hukum tatabahasa, namun masih sukar menyampaikan idea dengan jelas.

Seorang tukang masak mungkin menghafal resipi langkah demi langkah. Namun, apabila satu bahan tiada, dia tidak tahu cara menyesuaikannya kerana tidak memahami fungsi setiap ramuan.

Dalam semua keadaan ini, masalahnya bukan kerana mereka langsung tidak mempunyai ilmu. Masalahnya ialah ilmu tersebut belum benar-benar difahami.

Sebagai pensyarah perubatan, saya melihat keadaan hampir sama dalam kalangan pelajar universiti. Pelajar perubatan perlu mempelajari banyak fakta, daripada perubahan pada sel dan fungsi organ hinggalah kepada gejala pesakit serta mekanisme penyakit.

Pada peringkat awal, ada yang menyangka semakin banyak fakta dihafal, semakin besar peluang untuk berjaya.

Namun, apabila diberikan satu kes pesakit, hafalan sahaja tidak memadai. Pelajar perlu menghubungkan gejala dengan organ yang mungkin terjejas, menilai beberapa kemungkinan penyakit dan menjelaskan sebab sesuatu rawatan dipilih.

Mereka tidak boleh sekadar menyenaraikan fakta. Mereka perlu berfikir, membuat pertimbangan dan melihat hubungan antara satu maklumat dengan maklumat lain.

Keadaan sama berlaku dalam bidang lain. Jurutera perlu memahami mengapa sesuatu struktur boleh gagal, bukan sekadar menghafal formula. Guru perlu memahami bagaimana murid belajar, bukan hanya mengejar sukatan pelajaran.

Usahawan pula perlu memahami perubahan kehendak pelanggan, bukan sekadar mengulang strategi yang pernah berjaya.

Perubahan ini turut mengubah peranan pendidik. Guru bukan lagi sekadar penyampai maklumat, tetapi pembimbing yang membantu murid memahami, bertanya dan menilai.

Bilik darjah tidak sepatutnya menjadi tempat murid hanya mendengar, menyalin nota dan mengulang jawapan yang disediakan.

Mereka perlu diberi peluang berbincang, mencuba, membentangkan idea dan belajar daripada kesilapan. Perubahan budaya belajar ini memerlukan beberapa tindakan praktikal.

Pertama, guru perlu menambah soalan “mengapa” dan “bagaimana”. Selepas sesuatu formula, fakta atau konsep diajar, murid perlu diminta menerangkan sebab dan cara penggunaannya. Guru juga boleh menyediakan masalah berdasarkan kehidupan sebenar.

Satu soalan aplikasi yang baik kadangkala lebih bermakna daripada 20 soalan berulang.

Kedua, pentaksiran perlu memberikan ruang lebih besar kepada kefahaman. Peperiksaan tidak perlu dihapuskan, tetapi boleh dilengkapkan dengan projek, pembentangan, eksperimen dan kajian kes.

Pelajar perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan jawapan akhir, tetapi juga cara mereka memperoleh dan mempertahankan jawapan tersebut.

Ketiga, ibu bapa boleh mengubah perbualan di rumah. Daripada hanya bertanya, “Berapa markah kamu?”, tanyalah, “Apa perkara baharu yang kamu faham hari ini?” Berikan anak peluang menerangkan pelajaran menggunakan kata-katanya sendiri.

Perbualan ringkas di meja makan boleh membina keyakinan dan rasa ingin tahu.

Keempat, pelajar perlu diajar menggunakan AI melalui tiga langkah: semak, banding dan terangkan.

Mereka perlu menyemak jawapan AI dengan buku teks atau sumber rasmi, membandingkan beberapa sumber dan menerangkan semula jawapan menggunakan bahasa sendiri.

AI tidak sepatutnya menjadi mesin menyalin jawapan, tetapi alat untuk memperluas kefahaman.

Kelima, sekolah, universiti dan majikan perlu menghargai proses berfikir. Pelajar yang berani bertanya tidak harus dianggap lemah. Calon pekerja pula tidak wajar dinilai berdasarkan sijil semata-mata.

Tugasan praktikal, simulasi dan perbincangan kes boleh menunjukkan keupayaan sebenar seseorang untuk berfikir dan menyelesaikan masalah.

Akhirnya, kita perlu mengubah cara mentafsir kejayaan. Markah tinggi sememangnya membanggakan, tetapi bukan satu-satunya ukuran kecemerlangan.

Keupayaan memahami, membuat pertimbangan yang baik, menyesuaikan diri dan menggunakan ilmu untuk membantu orang lain ialah nilai yang lebih berkekalan.

Ramai antara kita mungkin sudah melupakan sebahagian besar fakta yang pernah dihafal ketika di bangku sekolah. Namun, cara kita berfikir dan membuat keputusan masih dipengaruhi oleh pengalaman belajar dahulu. Itulah nilai sebenar pendidikan.

Pendidikan bukan sekadar mengisi minda dengan fakta, tetapi membentuk cara seseorang melihat dunia.

Apabila pelajar benar-benar memahami ilmu, mereka bukan sahaja lebih bersedia menghadapi peperiksaan, malah lebih bersedia menghadapi peperiksaan sebenar, iaitu kehidupan.

Sudah tiba masanya kita berhenti bertanya, “Berapa banyak yang sudah dihafal?” Sebaliknya, tanyalah, “Sejauh mana ilmu itu benar-benar difahami?”

Malaysia tidak hanya memerlukan generasi yang tahu mencari jawapan.

Negara memerlukan generasi yang mampu memahami persoalan, menilai maklumat dengan bijaksana dan menggunakan ilmu untuk membina masa depan yang lebih baik.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azzahra Azhar
Pensyarah Perubatan dan Pakar Patologi
Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA)
E-mel: azzahraazhar@unisza.edu.my


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.