
SAUDARA PENGARANG
- Kelewatan tamat latihan tidak semestinya menunjukkan kurang usaha; ia sering disebabkan faktor seperti peperiksaan berkala, penyelidikan tertangguh, penempatan klinikal dan cuti.
- Pelatih berfungsi sebagai doktor bertugas sambil menyiapkan pembelajaran dan penyelidikan; tanggungjawab serentak menyebabkan keterlambatan, bukan bukti malas.
- Penyelesaian perlu berfokus kepada sistem: waktu belajar terlindung, penyeliaan diperkukuh, kemudahan penyelidikan dan data punca kelewatan diperincikan.
Isu tempoh latihan doktor pakar kembali mendapat perhatian umum apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan bahawa hanya 46 peratus pegawai perubatan berjaya menamatkan latihan kepakaran dalam tempoh yang ditetapkan.
Pegawai yang mengambil masa lebih panjang pula terus menggunakan jawatan simpanan latihan, sekali gus mengehadkan peluang calon baharu untuk memasuki program berkenaan.
Dari sudut pengurusan sumber manusia, keadaan ini sememangnya perlu diberi perhatian serius. Negara memerlukan lebih ramai doktor pakar, manakala tempat latihan yang terhad perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Namun, sebelum kelewatan itu tergesa-gesa dituduh sebagai kegagalan individu, satu persoalan mendasar perlu dijawab: mengapakah mereka mengambil masa yang lebih panjang?
Kadar tamat mengikut masa hanyalah satu ukuran pentadbiran. Ia tidak semestinya mencerminkan sikap, usaha atau tahap kecekapan seseorang doktor. Di sebalik statistik tersebut, terdapat pelbagai kekangan realiti yang menjejaskan perjalanan latihan mereka.
Seseorang pelatih mungkin tertangguh disebabkan gagal dalam satu komponen peperiksaan yang kebiasaannya hanya dianjurkan pada selang masa tertentu.
Ada juga yang berdepan kelewatan penyelidikan, pembetulan tesis, kesukaran memperoleh data, pertukaran penyelia, mahupun gangguan pada penempatan latihan klinikal.
Malah, kelewatan turut boleh berlaku akibat cuti bersalin, cuti sakit serta tuntutan perkhidmatan kritikal di hospital. Semua faktor ini tidak wajar dimasukkan ke dalam satu bakul lalu dilabel sebagai kelemahan atau kekurangan usaha individu.
Masyarakat juga perlu memahami bahawa doktor dalam program kepakaran bukanlah pelajar universiti sepenuh masa.
Mereka masih mengurus pesakit di wad, menjalankan klinik, menjawab panggilan kecemasan, melakukan prosedur, membantu pembedahan dan bertugas atas panggilan (on-call).
Pada masa yang sama, mereka dikehendaki membaca, menghadiri sesi akademik, melengkapkan rekod latihan, menjalankan penyelidikan dan bersiap sedia untuk peperiksaan bertulis serta klinikal.
Tanggungjawab bekerja dan belajar ini berlaku secara serentak, bukannya berasingan.
Bayangkan seorang pelatih yang baru selesai bertugas panjang di hospital. Selepas pulang dan menguruskan keluarga, beliau masih perlu membuka nota peperiksaan atau menyiapkan penyelidikan.
Keesokan harinya, beliau kembali ke hospital untuk merawat pesakit dan membuat keputusan klinikal yang kritikal. Realiti seperti ini mungkin tidak sentiasa kelihatan di mata masyarakat.
Oleh itu, kelewatan tidak semestinya bermaksud seseorang itu malas atau tidak berdisiplin, sebaliknya mencerminkan kesukaran memenuhi dua tuntutan teramat besar dalam satu masa.
Istilah “cuti belajar” juga sering menimbulkan salah faham. Dari sudut pentadbiran, seseorang doktor mungkin dikategorikan sedang mengikuti pengajian. Namun, dalam realiti perkhidmatan, ramai yang masih menjadi tulang belakang tenaga kerja hospital.
Percanggahan timbul apabila mereka sangat diperlukan untuk memastikan wad dan klinik terus berfungsi, tetapi kelewatan akademik yang berpunca daripada beban kerja itu akhirnya dianggap sebagai kegagalan peribadi.
Sudah tentu, tidak semua kelewatan berpunca daripada kelemahan sistem. Ada pelatih yang mungkin mempunyai kekurangan dari segi pengetahuan, kemahiran, disiplin atau pengurusan masa.
Perkara ini perlu dinilai secara jujur dan ditangani melalui bimbingan, pemantauan atau latihan tambahan.
Standard latihan juga tidak boleh diturunkan semata-mata untuk meningkatkan kadar kelulusan kerana keputusan yang bakal dibuat oleh seorang pakar melibatkan keselamatan dan nyawa pesakit.
Namun demikian, kelemahan individu tidak boleh dijadikan satu-satunya penjelasan tanpa data yang lengkap.
Kerajaan dan institusi latihan perlu memperincikan data kelewatan mengikut punca sebenar, iaitu sama ada dari peperiksaan, penyelidikan, kesihatan, keluarga, penyeliaan atau masalah pentadbiran.
Kita juga perlu mengetahui bilangan pelatih yang terjejas akibat kekurangan penyelia atau peluang pendedahan klinikal yang tidak terhad. Tanpa pecahan maklumat ini, kita hanya melihat simptom kelewatan tanpa memahami puncanya.
Pihak JPA turut menyatakan bahawa lebih 66,000 jawatan baharu dalam perkhidmatan kesihatan telah diluluskan sejak 2019.
Walau bagaimanapun, jawatan yang diluluskan tidak semestinya telah diisi, dan jawatan yang diisi pula tidak semestinya ditempatkan di jabatan yang paling memerlukan.
Jumlah doktor di peringkat nasional belum tentu menggambarkan keadaan sebenar di sesebuah wad.
Oleh itu, data kadar tamat latihan sepatutnya menjadi titik permulaan untuk menilai keseluruhan sistem, bukannya alat untuk menghukum doktor.
Kerajaan dan institusi latihan perlu menyediakan waktu pembelajaran khas yang benar-benar terlindung (protected time), memperkukuh penyeliaan, serta memudahkan urusan penyelidikan dan peperiksaan.
Beban kerja dan tempoh rehat selepas tugas atas panggilan juga perlu dinilai semula dengan teliti.
Doktor yang mengambil masa lebih panjang bukan semestinya menjadi penghalang kepada orang lain.
Mereka mungkin sedang bertahan dalam sistem yang mengharapkan mereka bekerja seperti pegawai sepenuh masa, belajar seperti pelajar sepenuh masa dan memenuhi jadual akademik yang ketat.
Jika kita mahu lebih ramai pakar tamat tepat pada masanya, penyelesaiannya bukan sekadar meminta doktor berusaha lebih keras, tetapi membina persekitaran perkhidmatan dan latihan yang membolehkan usaha mereka benar-benar membuahkan hasil.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Prof. Madya. Dr Ahmad Fadzli Sulong
Ketua Jabatan, Pakar Perubatan Perunding Ortopedik
Jabatan Ortopedik, Traumatologi dan Rehabilitasi
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: bethrezen@iium.edu.my